Thursday, March 3, 2011

Majlis Daerah Pdg. Terap Vs Rakyat

Dua kampung ancam boikot

NAKA - Kira-kira 40 penduduk dari Kampung Bendang Tok Teri dan Kampung Baru Naka, di sini mengadakan demonstrasi di hadapan sebuah surau di Kampung Bendang Tok Teri kira-kira jam 12 tengah hari semalam bagi meluahkan rasa tidak puas hati dengan tindakan Majlis Daerah Padang Terap (MDPT) mengarahkan mereka membayar cukai pintu bermula tahun ini.

Pengerusi Majlis Ketua Kampung (MKK) Kampung Bendang Tok Teri, Mohd Isa@Harun Hamid berkata, beliau bersama kira-kira 110 penduduk yang menerima notis pembayaran cukai pintu daripada MDPT sejak bulan lalu turut mengancam untuk memboikotnya berikutan kegagalan pihak berkuasa tempatan (PBT) menyediakan kemudahan penyelenggaraan dan kebersihan kampung seperti servis pengangkutan sampah, sistem perparitan sistematik, lampu jalan dan aktiviti pembersihan.

Menurutnya, caj pembayaran cukai pintu yang terlalu tinggi dan berbeza-beza mengikut keluasan tanah kediaman penduduk turut menyumbang kemarahan penduduk kampung kerana kebanyakan mereka adalah golongan susah dan berpendapatan rendah.

“Sudahlah purata cukai pintu yang dikenakan adalah dalam lingkungan RM50 hingga RM60, malah ada yang dicaj sehingga RM106 bagi setengah tahun pertama, tarikh akhir pembayaran perlu dijelaskan juga amat singkat iaitu sebelum 31 Mac ini.

“MDPT perlu ingat, kebanyakan penduduk di Kampung Bendang Tok Teri dan Kampung Baru Naka adalah orang susah," katanya sewaktu ditemui Sinar Harian di sini, semalam.

Mohd Isa@Harun berkata, kebanyakan penduduk di kedua-dua kampung itu memahami tujuan MDPT menuntut pembayaran cukai pintu untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan PBT di kawasan Pekan Naka dan kampung-kampung berdekatan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan MDPT perlu menyediakan segala kemudahan asas PBT terlebih dahulu untuk meyakinkan penduduk bahawa majlis itu komited untuk meningkatkan taraf perkhidmatan PBT di kawasan mereka.

“Selagi tiada satu kemudahan PBT disediakan oleh MDPT, selagi itu kami berkeras untuk memboikot pembayaran cukai pintu," katanya.

Seorang lagi penduduk Kampung Bendang Tok Teri, Abdul Rahman Rashid, 70, berkata, masalah ketiadaan sistem perparitan yang sempurna di kampung itu menyebabkan rumah miliknya dan beberapa penduduk kampung yang lain dinaiki air sebanyak dua kali setahun.

Menurutnya, selain masalah perparitan, kampung itu turut berhadapan masalah lampu jalan apabila laluan utama menghubungkan penduduk dengan pekan berdekatan gelap akibat kegagalan PBT menyediakan lampu jalan.

“Ada beberapa penduduk yang mengambil inisiatif sendiri memasang lampu jalan di hadapan rumah mereka dan terpaksa menyewa dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebanyak RM10 sebulan semata-mata bagi tujuan itu.

“Bagi saya, MDPT perlu memfokuskan usaha untuk menyelesaikan masalah PBT di kedua-dua kampung terlebih dahulu terutama masalah perparitan, barulah kami tidak berat hati untuk membayar cukai pintu,” katanya.

Bagi wakil penduduk Kampung Baru Naka, Ismail Mat Daud, MDPT perlu juga mempertimbangkan kemampuan rakyat sebelum menuntut bayaran cukai pintu.

“Sebelum surat pembayaran cukai dikeluarkan, kami tidak pernah dihebahkan mengenai perkara ini oleh MDPT. Secara peribadi, saya amat kecewa dengan tindakan ini dan meminta satu perbincangan dengan penduduk dibuat demi mencari penyelesaian terbaik,” katanya.

1 comment:

  1. PBT kaut duit rakyat bayak2...lepas tu pi mesyuarat naik kapal terbang mcm Ahli Majlis Pendang tu...bila lagi nak perabih duit...rakyat? depa mana reti apa...

    ReplyDelete