Sunday, October 2, 2011

Sedia jadi orang tengah

ALOR SETAR - Kerajaan Negeri bersedia menjadi orang tengah untuk menyelesaikan kemelut yang dialami penduduk Langkawi berikutan tindakan pengusaha feri menarik balik diskaun RM3 khusus untuk penduduk tempatan yang menggunakan perkhidmatan itu berkuat kuasa 16 September lalu.

Exco Pelancongan, S Manikumar berkata, walaupun isu berkaitan harga tiket bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan, beliau akan akan mengemukakan cadangan mengenai ketidakwajaran tindakan itu kepada Pusat.

“Kita tiada kuasa dalam isu ini tetapi akan cuba bagi khidmat nasihat dan pandangan dalam hal ini kepada pihak berkaitan. Malah kita bercadang membuat kajian terperinci mengenai perkara itu sama ada wajar dikekalkan atau sebaliknya,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri juga akan meneliti punca pembatalan keistimewaan itu yang dikecap penduduk Langkawi sejak 2007.

“Atas dasar apa harga tiket dinaikkan semula, adakah ada kaitan dengan harga diesel atau kurangnya subsidi atau disebabkan faktor lain,” katanya.

Manikumar berkata, Kerajaan Negeri akan memberi sokongan bagi pihak penduduk dan mengemukakannya kepada Pusat. Jika perlu, mereka bersedia bersemuka dengan kementerian terbabit.

Pada masa sama, Manikumar kesal kerana beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik yang mengadakan bantahan aman 20 September lalu tidak datang berbincang dengan Kerajaan Negeri, sebaliknya hanya menggesa campur tangan Kerajaan Negeri melalui kenyataan media.

“Setakat ini saya belum terima sebarang aduan atau hitam putih berkaitan perkara itu untuk tindakan lanjut. Saya masih menunggu pihak berkaitan datang berjumpa dan memberi salinan memorandum bantahan itu supaya mudah saya kaji isu ini,” katanya.

Menurutnya, sekiranya wujud kepincangan pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya supaya penduduk Langkawi mendapat hak mereka semula.

“Kita akan cuba setakat yang mampu namun perlu dapat kerjasama semua pihak. Jangan pula isu ini sekadar dijadikan motif kepentingan politik pihak tertentu,” katanya.

Exco Pengangkutan, Tan Chow Kang turut memberi jaminan isu ini diberi perhatian sewajarnya untuk dibincangkan oleh wakil Kerajaan Negeri.

“Sekiranya pengusaha feri tetap dengan keputusan mereka menarik balik diskaun itu, saya sendiri akan berjumpa dengan mereka untuk bincang. Saya juga ingin tahu apa sebab mereka tarik keistimewaan ini,” katanya.

Menurutnya, pihaknya kini sedang mengumpul maklumat berkaitan isu terbabit sebelum dipanjangkan dalam mesyuarat bagi mencapai jalan penyelesaian terbaik.

“Walaupun isu ini sudah diketahui umum, pihak berkaitan perlu kemukakan aduan dan serahkan salinan memorandum lalu, supaya kita boleh rujuk dan dapat selesaikan masalah secara menang-menang,” katanya.

Pada 20 September lalu, lebih 100 ahli NGO dan parti politik di Langkawi mengadakan bantahan aman menggesa pengusaha feri penumpang menarik balik pembatalan harga tiket istimewa kepada mereka.

Perhimpunan itu diadakan berikutan syarikat feri penumpang menaikkan harga tiket secara mengejut membabitkan perjalanan pada hari minggu, Jumaat, Sabtu dan Ahad, cuti sekolah dan cuti umum.

Tambang tiket sehala dari Kuala Kedah ke Langkawi atau sebaliknya adalah RM23 tetapi penduduk Langkawi diberi harga istimewa RM20 manakala dari Kuala Perlis ke Langkawi atau sebaliknya adalah RM18, RM15 untuk penduduk Langkawi.[Sinar Harian]

1 comment:

  1. “Setakat ini saya belum terima sebarang aduan atau hitam putih berkaitan perkara itu untuk tindakan lanjut. Saya masih menunggu pihak berkaitan datang berjumpa dan memberi salinan memorandum bantahan itu supaya mudah saya kaji isu ini,” katanya.
    Inilah stail yang EXCO @ ADUN Bukit Selambau ni buat pada pengundi DUN nya.

    Dulu ADUN UMNO buat stail tu lah,dan akhirnya depa bungkus.Sekarang hang pun nak ikut stail tu juga.Mau pengundi KEDAH mengadap hang,baru nak ambik tindakan.
    Buatlah macam apa yang YB Nasir selalu buat atau EXCO yang satu parlimen dengan hang buat tu(Dr Hamdan).Depa ni,kalau ada masaalah depa turun pi jumpa,bukan harap orang mai.Ini politik,dan ikut nahu politik rakyat adalah bos dan hampa tu kuli,so kuli lah kena jumpa bos.

    Hampa bolih jadi bos bila ada lain ADUN selepas PRU13 nanti yang bolih jadi kuli pula.

    ReplyDelete