Oleh: ZULKIFLI YAHAYA
Pada hari kanak-kanak pra sekolah mula memasuki alam persekolahan untuk menj
adi manusia yang cerdik, gerombolan Pemuda BN Kedah tiba-tiba ‘berpatah arah’ kembali menjadi kumpulan manusia yang nampaknya macam tidak berapa cerdik di atas tindakan mereka.
Entah apa mimpi mereka, tiba-tiba Pergerakan Pemuda BN Kedah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa berlaku penyelewengan dalam pemberian kontrak pembinaan kampus Kolej Universiti Insaniah.
Pengerusi Pemuda BN Kedah Badrol Hisham Hashim berkata laporan itu dibuat memandangkan tindakan kerajaan negeri yang didakwa memberi projek pembinaan fasa kedua secara terus kepada sebuah syarikat bukan melalui tender.
Badrol Hisham mendakwa enam kontraktor yang disenaraikan untuk bidaan tender bagi fasa kedua projek itu telah diketepikan oleh kerajaan negeri, sebaliknya projek itu diserahkan kepada sebuah syarikat yang beribu pejabat di Kuala Lumpur. Syarikat yang dimaksudkan ialah IJM.
Asas kepada laporan SPRM itu nampaknya bukan penyelewengan kerana Pemuda BN sendiri tidak dapat menyenaraikan walaupun sebutir penyelewengan. Tetapi adalah kerana projek tersebut ‘diberikan secara terus dan bukan melalui tender.’ Salahkah sesuatu projek diberi secara terus? Hampir kesemua projek-projek besar yang dibuat oleh kerajaan negeri di bawah BN dulu adalah secara runding terus. Termasuk projek-projek balak. Pemuda PAS tak pernah buat laporan SPRM hanya kerana isu runding terus, kerana mereka faham definasi rasuah. Membanteras rasuah adalah kerja mulia, tapi ada baiknya jika Pemuda Umno dihimpunkan untuk diberi kuliah mengenai takrifan rasuah supaya tindakan mereka tidak jadi bahan gelak ketawa dunia lantaran menonjolkan kebodohan diri sendiri.
Menuduh kerajaan negeri yang memberi projek pembinaan fasa kedua secara terus kepada sebuah syarikat, adalah satu lagi catatan kedunguan Pemuda BN. Insaniah selaku pemilik projek memberikan kontrak langsung kepada Bina Darul Aman (BDB). Kedah Sato Sdn. Bhd. (KSSB) dilantik sebagai kontraktor utama projek itu adalah kerana KSSB adalah anak syarikat BDB.
Kerja-kerja yang diserahkan kepada KSSB sebagai sub-konktaktor (yang juga tidak melalui tender terbuka) tidak pernah ditamatkan. Hanya fasa dua dan tiga yang menelan kos RM180 juta daripada RM330 juta kos keseluruhan terlibat dengan perlantikan sub-kontraktor baru. Hanya di peringkat ini syarikat IJM dipilih KSSB, bukan diputuskan dalam mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kedah. Jadi di mana asas tuduhan bahawa IJM dipilih terus oleh kerajaan negeri?
Maknanya jika Pemuda BN mahu mempertikaikan tindakan kerajaan negeri memberi projek terus kepada ‘sebuah syarikat’, maka syarikat tersebut sepatutnya BDB bukan IJM. Maka lagi terserlahlah kedangkalan berfikir dan bertindak Pemuda BN kerana BDB adalah anak syarikat kerajaan negeri.
KSSB bukan calang-calang syarikat pembinaan. Pada tahun kewangan 2009, keuntungan yang dicatatkannya ialah RM72 juta. Jauh lebih tinggi dari hasil balak negeri sekalipun.
Pembiayaan projek kampus induk Insaniah melalui pinjaman Bank Islam di peringkat awal menghadapi sedikit masalah sehingga BDB terpaksa memperuntukan modal permulaan lebih RM30 juta untuk menyiapkan kampus mengikut masa dijanjikan. Pembiayaan oleh Bank Islam hanya dapat menyelesaikan aspek teknikal pembiayaan projek ini pada akhir November 2010.
BDB terpaksa mencari sebuah syarikat alternatif yang berkemampuan untuk melaksanakan projek dengan modal sendiri dan syarikat yang berjaya memenuhi kriteria yang diperlukan ialah IJM. Mereka dilantik secara rundingan bagi menyiapkan kerja-kerja dengan pembiayaan awal mereka sendiri bernilai sekitar RM180 juta.
IJM juga menawarkan kerja timbal balas dengan membekalkan bahan batuan dan pembinaan jalan kepada BDB dalam projek jambatan kedua Pulau Pinang yang mana IJM adalah kontraktornya. Ini adalah perkongsian bijak, win-win.
BDB tidak mengetepikan kontraktor Bumiputera seperti yang didakwa. IJM membuat komitmen untuk membuat tawaran kepada kontraktor Bumiputera bagi kerja-kerja yang sesuai.
KSSB didakwa mengetepikan enam buah syarikat yang didakwa menyertai tender. Dakwaan itu tidak betul, kerana semua syarikat tersebut telah dianalisis. Malangnya tiada satu pun yang dapat menandingi kemampuan IJM.
Projek Sungai Limau Hidrocarbon Hub (SULIHH) adalah sebaik-baik pengajaran. Tergendala beberapa kali hanya kerana masalah yang datang dari kontraktor. Kerajaan Pakatan Rakyat berbeza dengan BN yang mahukan setiap projek berjalan dengan sempurna. Di zaman BN banyak projek yang terbengkalai atau siap tetapi sekadar menjadi projek gajah putih. Antaranya projek chalet Muzium Padi, Marina Harbour Kuala Kedah, chalet Tasik Pedu, chalet Pulau Payar, kompleks ikan Bakar Kuala Kedah, jambatan Pulau Bunting dan lain-lain.
Alang-alang projek pembinaan kampus Insaniah tidak diuruskan dengan betul, ia boleh gagal. Apa yang dibuat adalah untuk mengelakkan kegagalan, sebab projek yang mahu dibuat adalah projek besar iaitu sebuah institusi pendidikan. Jika pembinaan institusi pendidikan ini gagal, bukan setakat pihak pembangkang gembira kerana mendapat modal untuk menghentam kerajaan, bahkan iblis dan syaitan pun turut gembira kerana berjaya membantutkan usaha melahirkan manusia yang berakal dan beriman.
Pengulas politik kaki lima tersenyum sinis melihat reaksi Pemuda BN itu. “Alahai Pemuda BN, awat tak cerdik sangat?” katanya dalam loghat Kedah.
Hampir tiga tahun Pakatan mentadbir, inilah kali pertama Pemuda BN buat laporan SPRM terhadap kerajaan negeri. Ia satu ‘percubaan yang baik’ walaupun memalukan diri sendiri. Tak apa Pemuda BN, jangan putus asa. Cuba lagi…
ada persamaan ulasan buluh madu(dalam rumah lama) dengan zulkifli yahaya ni.
ReplyDeletehaloo,teng teng,teng.
melayu mudah lupa