Thursday, January 20, 2011

Hallo Najib.. mai face to face laa dok sembang belakang apa hal..!!

Anwar mahu jawapan pasti

ALOR SETAR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diminta memberi jawapan segera sama ada mahu berdebat atau sebaliknya.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Najib sengaja berdolak-dalik dengan mengemukakan pelbagai alasan namun sehingga kini, masih belum memberi kata putus sama ada menerima atau menolak ajakan debat itu.

“Jangan berdalih lagi. Saya hanya tunggu jawapan sama ada ya atau tidak. Najib perlu jawab setuju atau tidak kerana saya masih menunggu jawapan daripada beliau,” katanya pada sidang media, selepas program bicara tokoh ‘Maqosid Syariah dan Masyarakat Majmuk’, yang menampilkan Anwar sebagai ahli panel, selain Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Presiden Wadah Pencerdasan Umat, Datuk Dr Siddiq Fadzil.

Anwar berkata, tawaran ini hanya terbuka untuk Najib kerana beliau yang bertanggung jawab untuk memperjelas isu rakyat dan ekonomi.


Mengulas kenyataan Najib yang menyifatkan debat hanya membuang masa kerana Anwar gagal menunaikan janji-janjinya, Anwar berkata, apa yang dicadangkan pihaknya bukan untuk membuang masa, sebaliknya mahukan penjelasan isu yang dibangkitkan, terutama sektor ekonomi.

“Saya mahu Najib jawab sebab beliau adalah Perdana Menteri dan bertanggungjawab dalam portfolio ini. Beliau juga bertanggungjawab mengemukakan Program Transformasi Ekonomi (ETP). Manakala dalam rundingan Pakatan Rakyat, Program 100 Hari PR adalah pandangan kami,” katanya.

Anwar berkata, beliau masih berharap Najib berdebat dengannya dan telah menghantar surat jemputan kali kedua semalam, namun apa yang diterima olehnya ialah serangan peribadi daripada Najib.

“Surat itu adalah untuk buka ruang kepada perbincangan dua pihak, tidak semestinya debat,” katanya.

Menurutnya, belum ada lagi sebuah negara jatuh muflis disebabkan kerajaan membantu rakyat, sebaliknya negara itu muflis adalah disebabkan berlakunya korupsi, gila kuasa dan penyelewengan.

“Ingin saya tegaskan, kami bukan mahu sesi untuk maki hamun, tetapi untuk dengar penjelasan. Perdana Menteri boleh kemukakan apa sahaja untuk dibentangkan, dan saya akan bentangkan hujah saya pula. Saya juga bersedia ikut syarat ditetapkan jika perlu,” katanya.

Kelmarin, Najib mendakwa debat hanya membuang masa, selain menasihati Anwar supaya menunaikan janjinya dan menyelesaikan masalah peribadi dahulu. Malah mendakwa mempunyai maklumat yang boleh menyebabkan Anwar hilang arah jika didedahkan.

Anwar sebelum ini menghantar surat pelawaan berdebat apabila Najib membidas program 100 Hari PR yang didakwanya perancangan tidak bertanggungjawab, populis dan akan memufliskan negara.

No comments:

Post a Comment