Kedah kekal rekod tanpa kalah di Darulaman
SKUAD Hijau Kuning berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 7 siri perlawanan persahabatan yang dilangsungkan di gelanggang keramat mereka Stadium Darulaman.Yang terbaru Kedah berjaya membenam jaguh pantai timur, Kelantan 1-0 di Alor Setar malam tadi.
Gol tunggal perlawanan tersebut disumbangkan menerusi gol sendiri pemain Kelantan iaitu Khairan Eroza Razali dan jaringan sendiri tersebut memisahkan kedua-dua pasukan hingga ke wisel penamat.
Ketua Jurulatih Kedah, Haji Ahmad Yusof sudah mula memberi bayangan akan kesebelasan utama yang bakal menggalas cabaran skuad Kenari pada musim baru ini apabila menampilkan hampir 100% kesebelasan utama yang beraksi bagi musim lalu dalam menghadapi cabaran Kelantan dalam perlawanan persahabatan ini. Bermula dengan Mohd Al Hafiz Hamzah selaku penjaga gawang, V.Thirumurugan sebagai pertahanan kanan, Khairul Helmi Johari dan Mohd Fauzie Nan bergandingan sebagai pertahanan tengah, Azmi Muslim sebagai pertahanan kiri, Wan Asraf Wan Ali sebagai sayap kanan, Amar Rohidan dan Ahmad Fauzi Shaari bergandingan di tengah padang, Mohd Faizal Abu Bakar sebagai sayap kiri dan Baddrol Bakhtiar serta Azlan Ismail bergandingan sebagai penyerang.
Turun dengan dibarisi oleh 3 pemain skuad Piala AFF Suzuki 2010, Kedah dilihat sebagai "favourite" di dalam perlawanan ini manakala Kelantan pula dibarisi oleh Norshahrul Idlan Talaha dan Khairul Fahmi Che Mat yang merupakan tonggak skuad kebangsaan di cabaran Piala AFF Suzuki baru-baru ini.
Kelantan nyata agak tempang dalam perlawanan ini apabila kehilangan sebilangan besar tonggak utama musim lalu yang berhijrah ke pasukan lain seperti Indra Putra Mahayuddin, Norfarhan Mohamed, Azizi Mat Rose, Hairuddin Omar dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli. Penghijrahan beramai-ramai mereka nyata membuatkan Ketua Jurulatih B.Sathianathan pening kepala dan terpaksa mencari tonik beserta keyakinan moral yang tinggi ekoran rentetan kekalahan demi kekalahan mereka di dalam semua siri perlawanan persahabatan sebelum ini.
Kehadiran 3 pemain baru iaitu Solehin Kanasian Abdullah (dahulunya dikenali dengan K.Soley) yang berhijrah dari Perlis, Nurul Azwan Roya dari Johor FC dan Danial Fadzly (Weerat Nom) dari ATM masih gagal memberikan impak yang besar kepada pasukan walaupun mempunyai beberapa peluang yang seharusnya dimanfaatkan dengan baik.
Perlawanan malam semalam juga menyaksikan kehadiran penonton yang sangat memberangsangkan bagi perlawanan bertaraf persahabatan atau pun pemanas badan ini apabila dianggarkan hampir 10 ribu penyokong telah hadir bagi memberikan sokongan moral. Bagi seorang peminat yang ditemui sejurus selepas perlawanan, Abu Bakar b. Ismail, 49, menyifatkan faktor harga tiket yang murah dan perlawanan bertemu Kelantan adalah penyebab mengapa beliau hadir ke stadium pada malam semalam.
"Tiket cuma RM5 saja. Dan Kelantan pun pasukan yang sangat kuat. Berbaloi dapat tengok perlawanan sebegini". Tetapi lain pula ceritanya bagi seorang penyokong berstatus warga emas, Yusof Ngah, 67, beliau menyatakan bahawa penyebab utama beliau hadir pada malam semalam adalah kerana ingin melihat skuad Kedah yang dibarisi oleh pemain-pemain yang menjuarai Piala AFF Suzuki 2010 yang lalu. "Saya rasa mutu permainan yang ditunjukkan oleh Amar Rohidan sangat meyakinkan.
Tapi perlu ada keserasian yang lebih lagi dengan Paklong (Ahmad Fauzi Shaari)". Tinjauan juga dilakukan ke atas penyokong wanita, Siti Rahmah Bt. Ismail, 35, di mana beliau melahirkan kebimbangannya ekoran perbezaan kualiti persembahan oleh kesebelasan utama Kedah dan kesebelasan kedua Kedah yang jelas amat berbeza. "Pada separuh masa pertama, perlawanan memang seimbang. Seronok tengok separuh yang pertama. Tapi 30 minit terakhir separuh masa kedua agak hambar. Rentak kesebelasan utama (Kedah) terus berubah dan kelam kabut. Harus diperbetulkan dengan cepat" ujarnya.
Kedah bermula garang pada perlawanan ini apabila mengawal dengan baik di segenap posisi padang. Kelantan nyata gagal menguasai bahagian tengah kerana Amar Rohidan berjaya membuat kerjanya dengan baik sekali. Beliau ditafsirkan sebagai pemain yang tidak tahu erti penat apabila kelihatan di mana-mana sahaja di atas padang. Kelantan yang dikemudi oleh Mohd Badri B. Mohd Radzi nyata gagal bermaharajalela seperti perlawanan-perlawanan kompetitif pada musim lalu. Jelas kehilangan nama-nama besar memang banyak menjejaskan penguasaan bola mereka apabila acap kali diserang dan bocor di bahagian sayap.
Pada minit ke 10, Azmi Muslim hampir-hampir berjaya untuk mencatat nama sebagai penjaring sulung perlawanan apabila sepakan percumanya yang diambil secara leret terkena tiang gol Kelantan yang akhirnya ditangkap dengan kemas oleh Khairul Fahmi Che Mat. Bola sepakannya itu nyata tidak dicabar oleh sesiapa dan penjaga gawang Kelantan turut melihat saja bola tersebut melintas di hadapannya. Pada minit ke 13, ayam tambatan Kedah kelahiran Kelantan, Azlan Ismail berjaya mencuri tumpuan apabila melepaskan voli menarik dan padu hasil hantaran lintang Mohd Faizal Abu Bakar. Tetapi voli beliau hanya sedikit tersasar daripada tiang gol kiri Kelantan. Terselamat pintu gol Kelantan sekali lagi. 2 minit berselang, sekali lagi Azlan Ismail berpeluang untuk memecah kebuntuan apabila membuat larian solo sambil membawa bola dan melepaskan suatu rembatan yang sangat lemah ke dakapan rakan senegerinya Khairul Fahmi Che Mat.
Seminit kemudian giliran Kelantan pula menunjukkan taring mereka melalui penyerang negara Norshahrul Idlan Talaha apabila berpeluang untuk menguji penjaga gol Kedah dengan melepaskan rembatan kencang namun ianya terus ke arah Mohd Al Hafiz Hamzah dan berjaya didakap dengan kemas. pada minit ke 20 Norshahrul sekali lagi mempunyai peluang untuk menjaringkan gol tetapi sepakan lemahnya ke arah Al Hafiz hanya menguntumkan kekecewaan di riak wajah B.Sathianathan. Pada minit ke 35, Azlan Ismail terpaksa dikeluarkan dan digantikan dengan penyerang muda Hattaphon Bun An akibat keceraan lutut beliau yang masih dirasai. Beliau meminta untuk dikeluarkan sambil menunjuk isyarat pertukaran ke arah tempat duduk pasukan Kedah. Seminit kemudian giliran perancang Kedah, Ahmad Fauzi Shaari pula dikeluarkan dan digantikan dengan pemain kebangsaan Mohd Sabre Mat Abu juga akibat kecederaan.
Pemain-pemain muda Kedah juga mempunyai beberapa peluang mereka yang tersendiri apabila pada minit ke 38, pemain sayap berusia 20 tahun, Wan Asraf Wan Ali berjaya melepaskan rembatan padu tapi rembatannya itu hanya tersasar ke bulan. Pada minit ke 42, penjaring terbanyak skuad Piala Presiden Kedah, Hattaphon Bun An juga mempunyai peluang apabil bijak memperdayakan 2 pemain pertahanan Kelantan namun sangat lemah pada penyudahnya apabila rembatan leret beliau jauh tersasar daripada tempat yang sepatutnya. Serangan terakhir separuh masa pertama dipunyai oleh pertahanan Kelantan, bekas pertahanan kebangsaan, Daudsu Jamaluddin yang berjaya melepaskan rembatan padu ke arah gol Kedah namun sayang ianya sedikit tinggi di atas palang gol Kedah. Keputusan separuh masa pertama masih tiada sebarang gol dicatatkan.
Bersambung di babak kedua, ketika para penonton baru sahaja kembali ke tempat duduk masing-masing dan ingin memulakan tontonan babak kedua, Kedah dihadiahkan sepakan percuma di luar kotak penalti Kelantan. Ianya berpunca daripada Wan Asraf Wan Ali yang dibentes keras oleh pertahanan Kelantan, Mohd Farisham Ismail betul-betul di penjuru kiri kotak penalti Kelantan. Insiden pada minit ke 50 itu menyaksikan Azmi Muslim dipertanggungjawabkan untuk mengambil sepakan percuma tersebut dan melintangkan bola ke dalam kotak penalti Kelantan sambil menanti tandukan daripada mana-mana rakan sepasukan lain. Sepakannya itu bagaimanapun singgah di kepala Khairan Eroza Razali yang tertanduk sendiri ke kanan pintu gol Kelantan menyaksikan Khairul Fahmi Che Mat gagal untuk mengagak bola tersebut dan menghadiahkan gol sulung buat pasukan tuan rumah.
Selang seminit kemudian B.Sathianathan membuat pertukaran dengan mengeluarkan Khairan Eroza yang menghadapi permainan yang kurang meyakinkan dan digantikan oleh Mohd Rizal Fahmi Abdul Rosid. Pada minit ke 61 Kelantan sekali lagi membuat pertukaran pemain dengan mengeluarkan Daudsu Jamaluddin dan digantikan oleh Zul Yusri Che Harun.
Perlawanan pada separuh masa kedua kebanyakannya dikuasai oleh Kelantan yang nyata ingin mencari gol penyamaan sebagai gol penyuntik semangat dan pemulih maruah di dalam siri perlawanan persahabatan mereka. Kedah pula menggantikan hampir kesemua pemainnya dan hanya Khairul Helmi Johari sahaja kekal sebagai pemain Kedah yang beraksi selama 90 minit.
Perlawanan kekal dengan Kedah mencatat kemenangan ke 5 daripada 7 siri perlawanan persahabatan apabila menewaskan Kelantan dengan jaringan 1-0 dan masih mengekalkan rekod tanpa kalah. Perlawanan persahabatan seterusnya dijadualkan pada 18 Januari 2010 di Ipoh menentang Perak.
Statistik Perlawanan :
PERKARA - KEDAH / KELANTAN
Cubaan Tepat - 6 / 5
Cubaan Tersasar - 2 / 9
Sepakan Penjuru - 3 / 8
Offsaid - 3 / 0
Kad Kuning - 0 / 1
Kad Merah - 0 / 0
MAN OF THE MATCH pilihan Hijaukuning.com - AZMI MUSLIM (Kedah)
petikan dari HijauKuning.com
No comments:
Post a Comment