Monday, January 10, 2011

Kelebihan jala buatan tangan


Lee Beng Huat (dua dari kiri) melayan pelanggan yang mahu membeli jala buatannya di Kuala Kedah, Alor Setar, baru-baru ini.


ALOR SETAR 10 Jan. - Jala merupakan antara peralatan tradisional yang masih digunakan sehingga kini untuk menangkap ikan, udang serta hidupan air yang lain.

Biarpun jala yang dibuat menggunakan mesin di kilang banyak dijual di pasaran, jala yang dijahit dengan menggunakan tangan masih mendapat permintaan tinggi memandangkan jahitannya yang kukuh dan tahan lama.

Bagi seorang penjual jala buatan tangan di Kubang Rotan, Kuala Kedah di sini, Lee Beng Huat, 55, kualiti jala buatan tangan yang baik dan benang yang tidak mudah terputus adalah antara ciri jala yang sering dicari oleh pelanggan.

Dia yang turut mahir menjahit jala berkata, sebelum ini dia bekerja sebagai nelayan di Kuala Kedah namun disebabkan semakin uzur dia berhenti menjadi nelayan dan berjinak-jinak dengan dunia perniagaan.


"Saya menjadi nelayan sejak 20 tahun lalu dan menjahit pukat dan jala memang kemahiran saya. Jadi apabila semakin tua saya tidak larat untuk turun ke laut lagi.

"Dengan kemahiran menjahit pukat dan jala saya mengambil keputusan untuk membuat jala dan menjualnya sendiri," katanya ketika ditemui di Kubang Rotan di sini baru-baru ini.

Beng Huat yang lebih dikenali di kalangan penduduk setempat sebagai Lee Jala berkata, dia telah tiga tahun menjual jala, pukat serta buaian buatan tangan dan kini perniagaannya semakin mendapat perhatian daripada pelanggan.

"Sepanjang saya menjual jala yang dijahit sendiri ini, tidak pernah ada pelanggan yang memulangkannya kembali kerana tidak puas hati.

"Semua yang datang pasti berpuas hati dengan kualiti jala dan pukat yang dibeli daripada saya," katanya.

Beng Huat memberitahu, bukan mudah untuk menghasilkan jala yang berkualiti dan kembang apabila ditebar ke dalam laut atau sungai.

"Saya mengambil masa antara tiga hingga empat minggu untuk menyiapkan jala yang kukuh jahitannya.

"Saya menggunakan benang jenis nilon atau benang tangsi dan menjahit jala dengan sejenis kayu yang dipanggil coban," katanya.

Katanya, harga jala dan pukat dikira mengikut panjang jala tersebut dan sehingga kini jala yang dibuat olehnya makin terkenal di kalangan nelayan setempat.

"Selain itu, jala saya juga dibeli oleh mereka yang tinggal di Pulau Langkawi, Perak dan yang paling jauh nelayan dari Negeri Sembilan.

"Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan jala buatan tangan, mereka boleh menghubungi saya di talian 016-4631138 atau mereka boleh kunjungi gerai saya yang terletak berhampiran pasar nelayan Kubang Rotan yang dibuka setiap hari mulai 9.30 pagi hingga 12.30 tengah hari," katanya.

No comments:

Post a Comment