Saturday, January 22, 2011

Kenapakah selepas 2007 LTDL Tidak di buat di Langkawi?

Mahathir gembira Langkawi kembali


DR. MAHATHIR (kiri) diperkenalkan kepada pasukan yang membuat penampilan pertama
di LTdL, Terengganu Cycling Team di Dataran Lang, Langkawi semalam.

SELEPAS tiga tahun 'menyepi', Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) kembali memeriahkan bumi Langkawi, Kedah.

Ia ibarat sirih pulang ke gagang selepas kali terakhir kejohanan berprestij di pentas Asia itu diadakan pada tahun 2007.

Situasi itu jelas sekali menggembirakan seluruh peminat sukan tempatan khususnya warga Langkawi yang selama ini begitu ghairah menantikan kembalinya LTdL di pulau legenda itu.

Berita gembira itu turut dikongsi bersama mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menjadi pencetus idea kepada kejohanan yang telah memasuki edisi ke-16 tahun ini.

"Alhamdulillah. Saya gembira kerana akhirnya LTdL kembali diadakan di Langkawi. Selepas beberapa tahun tidak diadakan di Langkawi, tahun ini LTdL dapat diadakan semula di Langkawi.

"Tak kena kalau LTdL tidak diadakan di Langkawi kerana kejohanan ini memang bermula di Langkawi.

"Saya mahu mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak penganjur (Kementerian Belian dan Sukan) kerana kembali mengadakan LTdL di Langkawi," katanya selepas majlis pengenalan pelumba LTdL 2011 di Dataran Lang, Langkawi semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran, Datuk Mohid Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif, Mohamed Salleh dan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, Abu Samah Wahab.

Terdahulu, Mahathir sempat meluangkan masa bagi menghadiri majlis memperkenalkan barisan pelumba setiap pasukan yang bertanding pada saingan LTdL 2011 yang akan membuka tirainya secara rasmi di Dataran Lang hari ini.

Mengulas lanjut, Mahathir berkata, penganjuran LTdL edisi ke-16 tahun ini telah mencapai satu standard yang cukup tinggi dan boleh dibanggakan oleh seluruh rakyat Malaysia.

"Perlumbaan LTdL bukan sahaja disaksikan oleh rakyat tempatan, malah ditonton kira-kira 350 juta peminat sukan lumba basikal di seluruh dunia.

"Jadi inilah peluang kepada kita untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan. Dengan penganjuran LTdL melibatkan beberapa buah bandar yang menarik di negara ini, ia sekaligus memberikan gambaran yang baik kepada pelancong luar," katanya.

No comments:

Post a Comment