
KUALA KEDAH - Penduduk Taman Sri Putra gembira apabila mendapat pusat komuniti baru yang bakal dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak pada Jumaat ini di Padang Kilat.
Pengarah Program Perasmian Pusat Komuniti Taman Sri Putra, Abdul Razak Osman berkata, pada majlis perasmian itu juga, jamuan makan malam bersama rakyat turut diadakan pada jam 8 malam sebelum perasmian berlangsung.
Menurutnya, pusat komuniti tersebut sudah siap dibina dan kini dijadikan sebagai kelas menggaji al-Quran kepada kanak-kanak sejak awal bulan lalu.
“Kita juga berharap dengan adanya pusat komuniti ini ia akan memberi kemudahan kepada penduduk untuk melakukan pelbagai aktiviti berbentuk kemasyarakatan.
“Bersempena dengan perasmian pusat komuniti tersebut, penduduk mengambil beberapa inisiatif dengan mengadakan gotong-royong di kawasan padang dengan mendapat kerjasama daripada Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Environment Idaman, Majlis Ketua Kampung (MKK) Parlimen Kuala Kedah, Pusat Khidmat Kubang Rotan dan Pejabat Daerah,” katanya.
Abdul Razak berkata, majlis gotong-royong yang diadakan itu dirasmikan ADUN Pengkalan Kundor, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan turut dihadiri Ahli Parlimen Kuala Kedah, Ahmad Kassim.
Menurutnya, gotong-royong yang diadakan di kawasan padang berkenaan bukan sahaja diadakan bertujuan untuk jamuan rakyat malahan ia dilakukan untuk memberi keselesaan kepada penduduk yang menggunakan padang tersebut untuk tempat beriadah.
Menurutnya, padang yang sebelum ini terbiar sehingga ditumbuhi lalang, kini dibersihkan atas kerjasama yang diberikan penduduk.
“Semua pihak memberikan kerjasama yang terbaik untuk membersihkan kawasan sekitar dan berharap supaya kerjasama yang sama akan diberikan pada majlis perasmian nanti,” katanya.
No comments:
Post a Comment