Monday, January 17, 2011

Mulakan proses pelaksanaan Islam dengan dakwah

Harakahdaily

SHAH ALAM, 17 Jan: Anggota Parlimen Shah Alam, Khalis Samad mencadangkan agar kerajaan negeri Selangor memulakan proses untuk pelaksanaan syariah di negeri ini dengan pendekatan dakwah dari bawah bukannya terus melaksanakannya tanpa penerangan yang jelas.

Bagi beliau, apa yang berlaku di Selangor sebelum ini sudah cukup baik apabila seluruh masjid dan surau negeri ini begitu aktif memberikan penerangan dan kuliah agama.

"Kita tidak mahu apabila kita laksanakan terus apa yang kita hendak ia akan menimbulkan fitnah kepada Islam," katanya dalam temubual beliau dengan RTM.

Rakaman temubual itu disiarkan dalam blognya, www.khalidsamad.com.

Khalid dipercayai mengulas perbezaan pendapat yang berlaku di Selangor sekarang ekoran keputusan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang mahu menguatkuasakan larangan terhadap orang Islam dari bekerja di pusat hiburan yang menghidangkan arak.

"Pada dasarnya kita bersetuju dengan undang-undang ini dan tidak ada salah padanya, hukumnya jelas tidak boleh dipertikai, cuma dari segi pelaksanaan perlu ada siasah syariahnya," kata Khalid.

Beliau mengumpamakan apa yang dihadapi oleh negara ini sekarang adalah umpama seorang pesakit yang sedang terlentang sakit tidak boleh bangun.

"Kita umpama doktor, pesakit ada atas katil, terlentang dan tidak sihat. Kita kena pulihkan dahulu dia, bawa ke arah kesihatan yang lebih baik bukannya terus suruh dia berjalan dan berlari tanpa bantuan," jelas Khalid.

Beliau mencadangkan, kerajaan negeri memberikan penerangan terlebih dahulu, kemudian berbincang dengan peniaga dan pengusaha yang terlibat, mencari jalan supaya pekerja Islam tidak terlibat dengan arak walaupun bekerja di syarikat yang sama, alternatif pekerjaan lain dan sebagainya.

"Sedarkan masyarakat kita tentang undang-undang ini, beri pilihan pekerjaan kepada mereka yang terlibat. Kita tidak boleh ambil mudah dan gopoh mahu terus berubah," kata Khalid.

Cara yang terbaik, kata Khalid, adalah apabila pihak yang terlibat menyambut baik apa yang hendak dibuat "bukan memaksa mereka."

Berhubung dengan arahan Ronnie Liu, Exco kerajaan negeri agar peraturan itu ditarik balik, Khalid berkata, "Apa yang saya faham adalah PBT perlu menarik balik dahulu pelaksanaan peraturan ini, jangan laksana dulu, biar kerajaan negeri bincang dulu."

2 comments:

  1. TG Nik Aziz setuju dgn tindakan larang pekerja melayu kerja di premis ada jual arak. Khalid nak lawan Tok Guru ke?guent

    ReplyDelete
  2. Aku rasa Khalid cakap nie ingat zaman Nabi dulu ka....la nie boleh dikatakan semua orang yang mengaku Islam tahu hukum tersebut cuma mereka gagal mengawal nafsu mereka....memang tak logik kalau tak tahu..kat sekolah dahpun belajar...cuma mereka sengaja buat tak tahu...
    Adakah Khalid berani menanggung dosa mereka jika mereka mati sebelum Khalid sempat mengajar mereka hingga tamat..ataupun orang yang cuba melaksanakan hukuman ini berjaya menghalang mereka daripada terus melakukan kerja2 yang ditegah oleh Islam....adakah pekerja2 Islam kilang arak yang Khalid melawat haritu dahpun berhenti kerja hasil daripada tazkirahnya...berpada2lah Khalid ooiii....
    Kalau dalam melaksanakan Hukum Hudud ya lah kita kena beritahu rakyat dahulu sebelum melaksanakannya...

    ReplyDelete