SUNGAI PETANI 18 Jan. - Parti Cinta Malaysia (PCM) yang sebelum ini bergiat aktif di Pulau Pinang, kini melebarkan sayapnya di negeri ini apabila ia menubuhkan bahagian pertamanya di Sungai Petani di sini, baru-baru ini.
Pelancaran PCM itu akan disusuli pembukaan empat lagi bahagian di Padang Terap, Alor Setar, Padang Serai dan Merbok dalam tempoh terdekat.
Setiausaha Agungnya, Loo Kien Seang berkata, walaupun parti itu masih baru, penerimaan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum di seluruh negara setakat ini amat menggalakkan.
"Golongan muda khususnya kalangan profesional semakin yakin dengan komitmen PCM untuk mewujudkan masyarakat Malaysia yang mementingkan perpaduan.
"Kita parti kecil yang tidak memihak kepada sesiapa. Kita cenderung kepada isu, jika pakatan pembangkang curang, kita tegur, begitu juga kerajaan Pusat, kita akan berikan idea untuk penambahbaikan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelancaran PCM Bahagian Sungai Petani di Taman Sejati Indah di sini, baru-baru ini.
Turut hadir Pengerusi PCM, Tang Meng Chew; Bendahari PCM, K.C. Lim dan Ketua PCM Bahagian Sungai Petani, Amani Yeoh Hock Leong.
PCM ditubuhkan pada 8 Jun 2009 dan dilancarkan secara rasmi kira-kira tiga bulan selepas itu, bergiat aktif di Jelutong, Bukit Mertajam, Batu Kawan, Bukit Bendera dan Nibong Tebal di Pulau Pinang serta Kuching, Sarawak.
Menurut Kien Seang, PCM akan berusaha untuk mendapatkan lebih banyak sokongan terutamanya daripada masyarakat negeri ini pada masa depan.
Sehubungan itu, beliau berkata, usaha promosi sedang dibuat untuk membuka lebih banyak cawangan-cawangan baru.
"Di Kedah kita sudah mempunyai 400 ahli setakat ini dan kita juga sedang memproses kira-kira 1,000 borang kemasukan secara berperingkat," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Kien Seang memberitahu, pihaknya bercadang menubuhkan pusat operasi bagi membantu masyarakat setempat di negeri ini dalam tempoh terdekat.
Katanya, antara perkhidmatan yang diberikan adalah khidmat nasihat undang-undang, pengaduan dan kelas tuisyen secara percuma kepada penduduk sekitar.
"Kita berharap kewujudan pusat ini akan menjadi platform untuk meningkatkan lagi hubungan PCM dengan masyarakat," katanya.
No comments:
Post a Comment