Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah melangkah ke tahun baru 2011 dengan menampilkan satu lagi ‘produk’ pendidikannya apabila berjaya membuka Maahad Tahfiz al-Fityan (Fityan) di Kampung Setar, Yan
yang perasmiannya telah disempurnakan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi.
Dengan pembukaan tersebut bermakna Pemuda PAS Kedah kini mempunyai lima institusi pendidikan Islam yang diasas dan diurus tadbir sendiri bermula daripada Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) diikuti Sekolah Rendah Islam Darul Ulum (Sridu) di Alor Setar, Sekolah Integrasi Faizin (Saif) di Guar Chempedak dan Sekolah Menengah Agama al-Baqiyatus Solehat (Smart) di Pulau Langkawi.
Menurut Ketua Pemuda PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahya, sambutan baik daripada masyarakat terhadap institusi ini memberi keyakinan kepada mereka untuk meneroka aliran tahfiz sebagai bidang baru walaupun ia telah lama dilaksanakan pihak lain.
Maklumnya, untuk memastikan lanjutan pengajian daripada Fityan, pihaknya sedang berusaha menjalin hubungan dengan institusi yang telah pun mempunyai ‘mu‘adalah’ (hubungan) dengan Universiti al-Azhar.
Ujar beliau lagi, dengan rangkaian besar institusi pendidikan agama yang ada di negeri Kedah, hasrat untuk menjadikan Kedah sebagai negeri ilmu bakal direalisasikan.
Menurutnya juga, kelahiran maahad tahfiz itu adalah atas roh semangat untuk melahirkan ‘fityan’ iaitu pemuda sebagaimana maksud yang terkandung pada ayat 13 surah al-Kahfi.
Sementara itu, Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi menegaskan, nilai utama perlu dilihat bukanlah pada binaan bangunan yang didirikan itu kerana akan terdapat binaan manusia lain lebih besar daripada itu sebagaimana terdapat cadangan kini untuk membina menara 100 tingkat.
Ujarnya, ketika ada pihak yang mahu menjadikan negara ini sebagai hub hiburan, Pemuda PAS Kedah menunjukkan sebaliknya dengan bercita-cita menjadikan Kedah sebagai hub ilmu.
Ustaz Nasrudin dalam ucapan perasmian tersebut, beliau turut mengingatkan betapa ilmu agama memberi manfaat hingga ke perhitungan akhirat kelak.
Sehubungan itu, beliau menyeru pelbagai pihak mengambil peluang membantu cita-cita dan usaha membangunkan institusi sedemikian.
Lokasi maahad ini nyata amat strategik untuk pengajian tahfiz di mana ia terletak dalam kawasan perkampungan yang jauh dari bandar serta dikelilingi alam semulajadi kaki Gunung Jerai, aliran sungai yang jernih serta dusun buah-buahan.
Orang ramai yang berminat mendapatkan maklumat lanjut mengenai Fityan boleh menghubungi Ustaz Mohd Aizat Zakaria di talian 013-448 1030.
Sebarang sumbangan boleh dimasukkan ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad 02011010058929 atas nama Tabung Pendidikan Islam.
:: Iklan Sat ::
This must be the best Korean Drama
This must be the best Korean Drama
No comments:
Post a Comment