Thursday, February 3, 2011

Pelajar Kedah di Mesir selamat

Ditulis oleh AMELIA HASHIM

ALOR SETAR, 2 Februari - Semua 800 pelajar Kedah yang sedang menuntut di Mesir berada dalam keadaan selamat, kata Pengarah Yayasan Islam Negeri Kedah Tuan Haji Abdul Rahman Ismail.

Katanya, 200 pelajar yang tinggal di Asrama Darulaman berada dalam keadaan selamat dan makanan masih mencukupi.

Menurutnya 600 pelajar lagi yang tinggal di Asrama Melayu di Abassiyah dan rumah-rumah sewa sekitar sudah diarah berkumpul di Asrama Darulaman sementara menunggu masa untuk dibawa pulang ke tanah air.

Ujarnya, walaupun sekarang ini keadaan dalam asrama sedikit padat dan tidak selesa tetapi ini memudahkan pemantauan kselamatan mereka dan proses membawa balik semua para pelajar berkenaan sekiranya keadaan memaksa.

Menurutnya, Yayasan telah membuka Bilik Gerakan pada 31 Januari lalu bagi memantau keselamatan pelajar menerusi pegawai yang berada di sana.

Bilik Gerakan ini beroperasi siang dan malam bagi menjawab pertanyaan dan menyalurkan berita kepada keluarga waris pelajar terbabit.

Beliau menasihatkan kaum keluarga serta waris pelajar supaya jangan panic, kerana katanya, keadaan di sana masih terkawal dan para pelajar berada dalam keadaan selamat, sihat serta ada makan dan minum.

“Buat masa sekarang semua para pelajar ini di bawah pemantauan pihak Kedutaan Malaysia di Mesir. Mereka cuma sedikit tertekan kerana sebelum ini mereka bebas bergerak ke mana sahaja dan boleh membeli apa sahaja makanan kegemaran mereka,” katanya.

Ujarnya lagi, malam ini Yayasan Islam akan menghantar empat orang pegawai ke sana termasuk Pegawai Hal Ehwal Pelajar Timur Tengah bagi membantu mereka dalam segala sudut yang diperlukan. Namun begitu mereka dinasihatkan supaya bertenang dan bersabar sementara menunggu masa untuk berangkat pulang.

Proses menghantar pulang semua pelajar di Mesir tertakluk kepada arahan Kerajaan Persekutuan dan katanya, kemungkinan besar melalui penerbangan Air Asia, Penerbangan Mas atau melalui jalan laut dengan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang kebetulan sudah berada di sana.

Seramai 83 pelajar Kedah di bawah tajaan Yayasan Islam Negeri Kedah yang belajar di sana dalam jurusan Perubatan dan Pengajian Islam dan selebihnya atas biaya sendiri dan lain-lain. [WartaKedah]

No comments:

Post a Comment