Wednesday, February 16, 2011

PENDANG – Tiga kuda iringi Perarakan Maulidur Rasul





PENDANG – Sambutan Maulidur Rasul yang disertai 200 penduduk sekitar Kampung Belakang Pendang di sini, mencipta kelainan tersendiri.

Sebanyak tiga kuda mengiringi perarakan itu dan ditunggang imam masjid serta beberapa penduduk kampung itu.

Pengerusi Majlis Ketua Kampung (MKK), Abdul @ Sulaiman Awang berkata, perarakan itu disertai penduduk kampung itu dan beberapa lagi kampung berhampiran yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur.

“Setiap tahun sambutan Maulidur Rasul ini diadakan dan perarakan yang diadakan adalah biasa seperti sambutan di kawasan lain. Namun, pada kali ini agak berlainan apabila penduduk kampung berpakat untuk membuat sedikit kelainan dengan menggunakan kuda.

“Tiga kuda berkenaan dibawa satu kelab untuk bersama mengiringi perarakan supaya lebih meriah lagi,” katanya kepada Sinar Harian.

Abdul berkata, perarakan itu adalah sepanjang hampir empat kilometer mengelilingi kawasan kampung dan berdekatan pekan sambil diiringi dengan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW.

“Program anjuran Surau Kampung Belakang Pendang ini diadakan adalah hasil sumbangan penduduk kampung dan kerjasama yang ditunjukkan penduduk menggalakan tanpa mengira fahaman politik,” katanya.
Timbalan Pemuda Kampung Belakang Pendang, Zulkifli Ahmad berkata, sambutan pada kali ini dapat dilihat begitu meriah berbanding sambutan sebelum ini kerana turut melibatkan golongan korporat dan individu lain yang turut membantu.

“Program ini juga banyak disertai golongan muda. Idea menggunakan kuda dalam perarakan ini adalah baik kerana ia secara tidak langsung dapat menarik minat golongan muda untuk menyertai sambutan ini.

“Perarakan ini juga bertujuan meneruskan Syiar Islam di kampung ini agar dapat memberi galakan kepada penduduk kampung terutamanya golongan muda supaya terus mengingati peristiwa kelahiran Nabi Muhammad SAW,” katanya.

Zulkifli berkata, selain perarakan, turut diadakan majlis dari kumpulan marhaban dan berzanji yang memeriahkan sambutan itu.

lagi koleksi gambar : Klik Sini

No comments:

Post a Comment