
Hakim Zabariah Mohd Yusof hari ini membenarkan permohonan ex-parte untuk menghalang Amizudin daripada menerbitkan perkataan-perkataan berunsur fitnah terhadap Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu menerusi blognya, sharpshooterblogger.blogspot.com.
Hakim menetapkan 11 Februari ini untuk sebutan semula kes dan afidavit difailkan oleh kedua-dua pihak sebelum kes itu didengar pada 22 Februari.
Dalam permohonannya, Rais berkata perkataan-perkataan yang digunakan dalam artikel blog itu menunjukkan beliau merogol pembantu rumah dan seolah-olah beliau boleh membunuhnya.
Awal bulan lalu, laporan portal berita detik.com menyebut pembantu rumah berkenaan menafikan dakwaan tersebut.
Dalam pernyataan bertulis yang ditandatanganinya, pembantu rumah itu menegaskan tidak pernah terjadi cubaan gangguan seksual oleh majikannya selama beliau bekerja di Malaysia.
“Saya bekerja selama lapan tahun di rumah Datuk (Rais). Selama itu baik-baik saja, tidak pernah ada permasalahan, apalagi terkait perlakuan kasar serta tidak senonoh terhadap saya,” katanya dalam kenyataan itu.
Beberapa hari sebelum itu, Rais menafikan dakwaan kononnya beliau terlibat dalam satu kes jenayah memperkosa pada 2007 dan semua dakwaan lain yang dilemparkan oleh penulis blog di Internet dan parti pembangkang terhadapnya.
“Saya menafikan sebarang alegasi tersebut sama ada yang berkaitan alegasi memperkosa mana-mana individu empat tahun dahulu atau lain-lain dakwaan yang dicetuskan penulis liar blog di internet atau mana-mana entiti politik,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga mempertikaikan mengapa perkara tersebut ditimbulkan sekarang.
Penafian Rais muncul beberapa minggu selepas dakwaan itu dilaporkan dibawa oleh pendedahan WikiLeaks.
Bagaimanapun tiada dokumen berkaitan diperoleh di laman web WikiLeaks.
Rais memfailkan kes terhadap Amizudin pada 31 Januari lalu dengan mendakwa blogger itu menerbitkan atau menyebabkan penerbitan artikel berunsur fitnah di bawah tajuk “Hei Pak Menteri . . . mana mau lari . . .” pada 28 Disember lalu.
Dalam kenyataan tuntutan, Rais berkata tulisan bersama gambarnya dipaparkan dengan ketara dan mempunyai perkataan-perkataan yang memfitnah beliau.
Malah tulisan blog itu juga menunjukkan beliau seorang individu yang berkuasa mengambil kesempatan ke atas pekerja-pekerja, seorang suami yang tidak setia dan pemimpin tidak bermoral.
Kata beliau, artikel fitnah itu disiarkan tanpa terlebih dahulu mengambil langkah untuk memeriksa fakta dengannya. - The Malaysian Insider
Manakala Mstar pula melaporkan
KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini mendapat injunksi daripada Mahkamah Tinggi yang memerintahkan seorang penulis membuang makalah berbaur fitnah terhadap beliau daripada laman blognya.
Ketika membenarkan permohonan Rais itu, Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof memerintahkan Amizudin Ahmat, atau ejennya, membuang perkataan atau makalah berunsur fitnah dan foto plaintif (Rais) daripada blognya, sharpshooterblogger.blogspot.com.
Hakim juga membenarkan permohonan Rais untuk menghalang Amizudin atau ejennya daripada terus menyiarkan makalah berbaur fitnah itu atau mana-mana makalah berbaur fitnah lain terhadap beliau dalam blog penulis itu atau mana-mana blog dan medium lain sehingga selesai pendengaran injunksi inter-parte pada 22 Februari ini.
Peguam Azad Bashir daripada Tetuan Shafee & Co mewakili Rais.
Pada 31 Januari, Rais memfailkan saman fitnah terhadap Amizudin, yang juga anggota jawatankuasa Sayap Pemuda Parti Keadilan Rakyat, berhubung makalah berkenaan yang tersiar dalam blog penulis itu berserta foto Rais pada atau kira-kira pada 28 Disember tahun lepas.
Dalam saman yang difailkan melalui Tetuan Shafee & Co, Rais menuntut ganti rugi umum, ganti rugi khas, ganti rugi teruk, ganti rugi punitif, faedah dan injunksi terhadap defendan supaya membuang dan menghalang defendan daripada terus menyiarkan makalah berkenaan.
Dalam pernyataan tuntutannya, Rais, 69, berkata kesemua perkataan dalam makalah berbahasa Melayu itu berniat jahat dan berbaur fitnah terhadap beliau.
Rais berkata perkataan dalam makalah itu bermaksud dan/atau boleh difahamkan bermaksud bahawa beliau melakukan satu kesalahan serius iaitu merogol dan berkemampuan membunuh pembantu rumahnya yang berasal dari Indonesia.
Dalam pernyataan tuntutan berkenaan, Rais berkata perkataan yang berbaur fitnah itu juga bermaksud beliau seorang manusia dan/ atau pemimpin yang tidak bermoral.
Kata Rais, berikutan penyiaran makalah itu, nama baik beliau secara peribadi dan/atau secara profesional telah tercemar teruk di peringkat nasional dan/atau antarabangsa, daripada segi ketokohan dan kredit, dan telah diseretkan ke dalam skandal, kebencian dan kehinaan di mata umum serta mengalami keaiban, tekanan dan kerugian.
Rais, yang juga Anggota Parlimen Jelebu, menafikan tuduhan itu bulan lalu selepas nama beliau disebut oleh seorang penulis blog.
Selepas itu, seorang wanita yang pernah bekerja sebagai pembantu rumah beliau selama lapan tahun dilaporkan sebuah portal berita Indonesia telah menafikan yang dia pernah dilayan secara kejam atau dirogol oleh majikannya. BERNAMA
Sharpshooter - Anda boleh baca artikal yang dimaksudkan oleh Rais Yatim itu di sini.
Sharpshooter pernah menjadi wali hukum yang mewakili negeri Perak, P.Pinang, Kedah, Perlis dan Kelantan, berurusan dengan konsulat Republik Indonesia, yang kerja saya menguruskan kes-kes yang melibatkan pekerja Indonesia di Malaysia.
Jika dipanggil ke mahkamah, saya akan hadir. Kalau takut dipukul badai, usah berumah di tepi pantai, kalau takut dengan risiko usah bicara soal perjuangan. Sekali melangkah pantang undur.
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment