SUNGAI PETANI - Seorang bekas eksekutif syarikat Edaran Modenas Sdn Bhd dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Sungai Petani, semalam daripada 24 pertuduhan menipu membabitkan pengeluaran dokumen pelepasan eksais 190 buah motosikal bernilai RM2 juta sembilan tahun lepas.
Hakim Zainol Saad membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Azhar Hussain, 40.
Dalam penghakimannya Zainol berkata, pihak pendakwaan mengemukakan beberapa fakta yang bercanggah dan meragukan berhubung bilangan sebenar motosikal terbabit dan kerugian yang ditanggung oleh syarikat itu dalam kes berkenaan.
Katanya, pihak pendakwaan juga gagal membuktikan penglibatan tertuduh dengan menyatakan tarikh dan tempat perbincangan dilakukan.
“Saya telah meneliti hujah pendakwaan dan mendapati Edaran Modenas tidak mengalami sebarang kerugian manakala tertuduh pula tidak meraih sebarang keuntungan dari transaksi yang berlaku.
“Oleh sebab itu mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh dari semua pertuduhan,” kata hakim Zainol.
Azhar, yang diwakili peguam Mohd Amir Abdul Rani dan C Shanmugaiah, didakwa menipu pegawai di Bahagian Kawalan Kredit Edaran Modenas supaya mengeluarkan surat pelepasan eksais secara elektronik berjumlah RM2.03 juta bagi membolehkan pendaftaran 190 motosikal itu dilakukan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
:Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Edaran Modenas di Kawasan Perindustrian Gurun, dekat sini, antara 9 pagi dan 5 petang 14 Mac 2002.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Cheah Yit dan Sharifah Shazwani Syed Hussain.
Seorang lagi tertuduh, Ong Choon Hooi, 61, yang didakwa menerima motosikal curi dalam kes itu juga dibebas dan dilepaskan oleh mahkamah yang sama.
Ahli perniagaan dari Gurun itu dituduh dengan curang menerima 24 motosikal jenis Modenas Kriss curi milik Edaran Modenas di Techzone Sdn Bhd, Taman Suria, Gurun antara 4.15 petang dan 5 petang pada 9 Mac 2002.
Dia didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda.
Azhar dan Choon Hooi ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata, mereka gembira dan bersyukur dengan keputusan itu.- Bernama
No comments:
Post a Comment