Tuesday, March 8, 2011

Dua Ahli Exco berubah portfolio

ALOR SETAR - Seramai 10 Ahli Exco dikekalkan dan mengangkat sumpah di hadapan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, semalam.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, berkata, sedikit rombakan portfolio dibuat bagi melancarkan urusan Kerajaan Negeri membabitkan Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Ir Amiruddin Hamzah.

Portfolio Pembangunan Luar Bandar yang dipegang Ir Phahrolrazi sebelum ini, diserahkan kepada Ir Amiruddin, manakala portfolio Bekalan Air bawah kendalian Amiruddin sebelum ini diambil alih oleh Ir Phahrolrazi.

Menurutnya, pertukaran itu menyaksikan Ir Phahrolrazi kini memegang jawatan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga manakala Ir Amiruddin kini Exco Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi, Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan.

“Tujuan rombakan kecil itu kerana Kerajaan Negeri melihat portfolio Pembangunan Luar Bandar adalah berkait rapat dengan portfolio pertanian dan Industri Asas Tani (IAT) kerana Majlis Ketua Kampung (MKK) yang terletak bawah portfolio Pembangunan Luar Bandar memainkan peranan besar dalam melaksanakan projek pertanian untuk rakyat.

“Justeru, lebih baik portfolio itu diserahkan kepada Ir Amiruddin yang turut bertanggungjawab dalam portfolio pertanian dan IAT manakala portfolio pengurusan bekalan air diserahkan kepada Ir Phahrolrazi kerana beliau turut terlibat dengan portfolio perumahan dan kerajaan tempatan,” katanya kepada media selepas upacara mengangkat sumpah pelantikan Exco Kerajaan Negeri di Istana Anak Bukit, semalam.

Upacara itu disaksikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Alor Setar, Datuk Mohd Azman Husin dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Kedah (Maik), Datuk Syeikh Uzir Baharom.

Ahli Exco lain tidak terbabit dengan perubahan iaitu Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul selaku Exco Agama, Pelajaran dan Koperasi manakala Datuk Dr Hamdan Mohamed Khalib dikekalkan sebagai Exco Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan, Kebudayaan.

Anggota lain ialah Siti Aishah Ghazali sebagai Exco Pembangunan Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Dr Ismail Salleh Exco Kesihatan, Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pembangunan Insan, Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

S Manikumar kekal Exco Pelancongan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Hal Ehwal Masyarakat Siam, manakala Lim Soo Nee Exco Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Perpaduan dan Pengurusan Sumber Manusia.

Abd Ghani Ahmad sebagai Exco Penerangan, Pembangunan Usahawan manakala Exco Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Pengangkutan disandang Tan Chow Kang.

Sementara itu, portfolio Azizan turut dikekalkan iaitu sebagai Perancang Ekonomi Negeri, Perancang Negeri, Hal Ehwal Tanah, Hasil Bumi dan Sumber Asli, Majlis Tindakan Negeri, Keselamatan Negeri, Kewangan dan Syarikat Milik Kerajaan.

Azizan berkata, pengekalan jawatan semua Exco adalah berdasarkan pencapaian perkhidmatan semasa mereka dan berkuat kuasa selama setahun sehingga 7 Mac tahun hadapan.

Menurutnya, beliau berpuas hati dengan keseluruhan prestasi kesemua anggota Exco, bagaimanapun menegaskan masih banyak ruang yang perlu diperbaiki bagi mencapai tahap terbaik.

“Saya juga berharap semua Exco dapat mempertingkatkan prestasi dari semasa ke semasa untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.

No comments:

Post a Comment