Pas Kedah tidak berganjak
ALOR SETAR 2 Mac – Walaupun terdapat banyak rungutan daripada rakyat negeri ini, namun kerajaan Pas Kedah tetap tidak berganjak dengan keputusannya untuk menamatkan peranan Pejabat Pos sebagai ejen kutipan bayaran bil Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd., (Sada) mulai semalam.
Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak (gambar) memberi alasan, keputusan itu diambil untuk bersikap adil kepada pengguna supaya tidak dibebani dengan kos bayaran komisen yang dikenakan oleh Pejabat Pos kepada syarikat air berkenaan.
Menurut beliau, kadar komisen bagi negeri ini dinaikkan sebanyak 90 sen bermula bulan ini berbanding kadar lama sebanyak 70 sen untuk satu bil.
Jelas beliau, jika pihaknya bersetuju dengan kenaikan berkenaan, ia dibimbangi terpaksa dikongsi dengan pengguna.
Malah, kata beliau, kerajaan negeri sukar untuk memahami kadar komisen yang dikenakan oleh Pos Malaysia kerana ia berbeza-beza mengikut negeri.
“Sebenarnya Pos Malaysia ini cajnya berbeza-beza. Kedah (sebelum ini) sebanyak 70 sen, tempat lain 50 sen, jadi kita pun tidak faham.
“Jadi bila berurusan dengan orang tak faham ini, tak usah berurusan teruslah, senang. Kita pergi ikut lain,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.
Menteri Besar ditanya mengenai keputusan kerajaan Pas Kedah menamatkan perkhidmatan pembayaran bil air di Pejabat Pos di seluruh negeri mulai semalam.
Ekoran itu, orang ramai merungut dengan keputusan tersebut manakala Pemuda Gerakan negeri yang kesal dengan perkara itu meminta kerajaan negeri supaya mengkajinya semula demi keselesaan penduduk yang masih ingin menggunakan perkhidmatan di Pejabat Pos.
Ketuanya, Tan Keng Liang berkata, tindakan berkenaan akan menyusahkan lebih 100,000 rakyat negeri ini yang menggunakan perkhidmatan pembayaran bil air di Pejabat Pos, terutama mereka yang tinggal di luar bandar.
Azizan menambah, berikutan keputusan berkenaan, pihaknya akan memantapkan lagi kerjasama dengan agensi lain seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia (TM) untuk memudahkan pengguna membuat pembayaran bil air mereka di situ.
Menurutnya, agensi-agensi terbabit tidak mengenakan caj yang tinggi dan mewujudkan situasi menang-menang antara kedua-dua belah pihak.
Kata beliau, Sada juga membuka kaunter-kaunter di bandar-bandar utama selain merancang untuk menyediakan kaunter bergerak bagi tujuan berkenaan.
Dalam pada itu, mengulas mengenai isu pencerobohan hutan di Langkawi, Azizan berkata, pihaknya sedang mengenal pasti pihak terlibat dan tindakan bakal diambil ke atas mereka jika didapati melanggar peraturan.
Beliau berkata, pencerobohan hutan di Langkawi bertujuan mengambil tanah berbanding di daratan tanah besar untuk mencuri balak.
No comments:
Post a Comment