Sunday, March 6, 2011

Najib berjaya pulihkan BN, tapi Pakatan masih menggerapai?

Oleh Jahabar Sadiq
Editor Malaysianinsider.com

Dalam tempoh hanya tiga tahun, Datuk Seri Najib Razak telah menonjolkan diri beliau dan agendanya untuk memulihkan Barisan Nasional (BN) bagi mencapai kejayaan dalam satu lagi pilihan raya kecil serentak sedangkan Pakatan Rakyat pula menggerapai-gerapai ekoran strategi dan dasar yang sepadu pesaing mereka.

BN memenangi kedua-dua kerusi DUN Merlimau dan Kerdau dengan majoriti signifikan berbanding keputusan Mac 2008, di mana ketika itu ia kehilangan 82 kerusi Parlimen dan empat negeri kepada perikatan yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Esok genap tiga tahun pilihan raya umum ke-12 diadakan.

Gandingan parti-parti pembangkang muncul sebagai Pakatan Rakyat tetapi kekal sebagai perikatan yang longgar ketika mencatatkan kejayaan bersejarah pada 8 Mac 2008 ketika itu BN diketuai Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Najib mengambil alih kepimpinan BN pada April 2009, di sebalik dakwaan yang berkaitan dengan kes bunuh Altantuya dan Umno tidak lagi boleh memperoleh sokongan majoriti Melayu — statusnya sebagai ‘raison d’etre’ sejak lahir pada 1946.

Daripada menggerakkan Umno yang rosak teruk dan BN cedera parah, Najib memulakan dasar-dasar ekonomi dan nada yang sederhana untuk memenangi hati rakyat Malaysia termasuk masyarakat India yang menenggelamkan BN selepas kebangkitan Hindraf pada November 2007.

Najib memulakan gagasan 1 Malaysia, mengetengahkan idea Model Baru Ekonomi (MBE), Program Pembaharuan Kerajaan (GTP) dan kemudian Program Pembaharuan Ekonomi (ETP) yang meliputi 200 projek dan peluang-peluang bisnes.

Di sebalik hasilan program itu belum kelihatan tetapi Najib sudah pun menikmati tahap populariti peribadi sejak menggantikan Abdullah, meskipun Umno belum pulih sepenuhnya daripada kesan pilihan raya umum 2008.

Kejayaan beliau ialah calon-calon muda yang Umno letak dalam tiga pilihan raya keci atau yang menurut Najib calon-calon yang boleh membawa kemenangan — formula yang beliau perkenalkan untuk memulihkan dan memperbaharui imej partinya, yang dihidupkan semula oleh Tun Dr Mahathir Mohamad selepas ia diisytihar haram pada 1988.

“Pada dasarnya meskipun anda tidak percaya Umno, anda boleh percaya Najib. Inilah mesejnya,” kata seorang penganalisis kepada The Malaysian Insider malam tadi.

Di sebalik itu, penganalisis itu juga berkata sepanjang dua tahun lalu Pakatan Rakyat berhadapan dengan ranjau ketika Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim berhadapan dengan satu lagi kes liwat.

Seorang pemimpin Pakatan Rakyat berkata, Anwar yang dilihat sebagai pengikat Pakatan Rakyat tetapi “perbicaraan kes liwatnya telah menjejaskan ketokohan beliau” dalam perikatan tersebut.
Dalam kebanyakan keadaan sepanjang tiga tahun lalu dilihat sebagai tuah dan takdir bagi kedua-dua Najib dan Anwar.

“Anwar telah mengetuai kami dalam siri kemenangan pilihan raya kecil selepas pilihan raya umum 2008 tetapi ia kelihatan semakin berjauhan daripada kami. Najib kini dalam kebangkitan,” kata seorang pemimpin.

“Kami perlu membetulkan tindakan kami, bertindak pada kekuatan yang ada dan memastikan momentum 2008 tidak hilang,” katanya lagi.

Penganalisis politik Datuk Dr Zainal Kling berkata kemenangan berganda BN di Merlimau dan Kerdau boleh dijadikan penanda aras sokongan rakyat, namun parti itu harus mengambil iktibar daripada tsunami politik yang diharunginya pada pilihan raya umum 2008.

“Ini kerana sokongan sokongan pengundi di kawasan bandar masih belum dapat dipastikan, namun kini sudah ada tanda-tanda sokongan rakyat mula kembali kepada BN,” katanya kepada Bernama.

Dengan dua kemenangan semalam, BN menangi lapan daripada 16 pilihan raya kecil yang diadakan sejak pilihan raya umum 2008.

Timbalan Naib Canselor INTI International University Prof Datuk Dr Ibrahim Ahmad Bajunid pula berkata dengan kemenangan berganda ini, BN tidak sepatutnya merasakan mereka dalam keadaan selesa kerana sejarah membuktikan bahawa kesilapan yang kecil, baik dari individu mahupun parti, mampu menimbulkan “turn-over” sehingga membawa kepada tsunami politik seperti pilihan raya umum 2008.

Pada pilihan raya kecil DUN Merlimau, calon BN Roslan Ahmad menewaskan Yuhaizat Abdullah dari PAS dengan majoriti 3,643 undi, manakala di DUN Kerdau, PAS turut menerima tamparan hebat apabila calonnya Hassanuddin Salim tewas kepada calon BN Syed Ibrahim Syed Ahmad dengan majoriti 2,724 undi.

Najib tidak membayangkan bila pilihan raya umum akan diadakan tetapi kemenangan malam tadi dan pilihan raya negeri Sarawak membayangkan bahawa ia akan diadakan tidak lama lagi, kemungkinan tahun ini juga berdasarkan temu bual dengan Reuters ketika lawatan ke Australia minggu lalu.

Bagaimanapun pegawai-pegawai Umno menasihatkan Najib berhubung syor agar diadakan pilihan raya umum tergempar memandangkan parti itu belum pulih sepenuhnya dari segi populariti, demikian menurut seorang pemimpin kanan parti kepada The Malaysian Insider baru-baru ini.

“Kami memberikan beliau taklimat mengenai persiapan di peringkat akar umbi tetapi (juga) memaklumkan bahawa beliau kemungkinan popular tetapi parti tidak sepopular macam beliau,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment