Sunday, March 6, 2011

Pasport punca visa lambat

ALOR SETAR - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berpuas hati dengan proses penghantaran pulang pelajar ke Mesir yang bermula lewat malam ini, walaupun masih terdapat segelintir pelajar mengalami masalah untuk mendapatkan visa berikutan pasport tamat tempoh.

Katanya, walaupun keadaan sedikit kelam-kabut berikutan syarat baru yang dikenakan oleh pemerintah di Mesir, namun pihaknya yakin proses penghantaran pulang kesemua 835 pelajar berjalan mengikut jadual.

“Setakat hari pertama proses penghantaran pulang pelajar, saya puas hati kerana tiada yang tercicir. Semuanya mengikut jadual dan saya harap penerbangan tidak tergendala. Cuma buat masa ini kita masih memproses visa untuk pelajar penerbangan akhir hingga 10 Mac ini,” katanya, ketika meninjau pelepasan pelajar Kedah ke Mesir, di hadapan Wisma Darul Aman, semalam.

Azizan turut mengingatkan pelajar terbabit supaya memeriksa pasport masing-masing bagi memastikan perjalanan pulang berjalan lancar.

“Ada pelajar yang tidak sedar pasport mereka tamat tempoh, disebabkan itu kita ambil masa untuk memperbaharui pasport dan mohon visa. Mereka yang lewat memperoleh visa akan menaiki penerbangan akhir, bagaimana pun semuanya kini dalam proses dan tidak akan jejaskan perancangan asal,” katanya.

Menurutnya, Yayasan Islam Negeri Kedah (Yiked) sedang memantau dan menguruskan segala persiapan dan proses penghantaran bermula dari Wisma Darul Aman hingga ke KLIA, dan seterusnya tiba ke Mesir.

“Sebelum ini pelajar tidak perlu mohon visa daripada kedutaan, cuma mereka perlu dapatkan visa bila tiba di sana. Apabila syarat baru ini dikuatkuasakan, kita terpaksa mohon lebih 800 visa dalam beberapa hari menyebabkan agak kelam-kabut,” katanya.

Azizan meminta ibu bapa pelajar yang pulang ke Mesir supaya jangan panik mengikuti berita pergolakan di Timur Tengah, kerana lokasi penempatan pelajar agak jauh daripada tempat yang bergolak.

“Di Mesir, tunjuk perasaan sudah macam rutin mereka, kadang-kadang setiap minggu ada. Jadi tak usahlah bimbang sebab pelajar boleh jaga diri memandangkan lokasi agak jauh,” katanya.

Menurutnya, penerbangan pertama ke Mesir dijadualkan pada 11 malam (5 Mac), manakala penerbangan kedua menyusul Isnin ini.

Seramai 235 pelajar dan sembilan pegawai berlepas ke KLIA dengan menaiki enam bas yang disediakan. Bagi peringkat pertama ini, 20 pelajar gagal memperoleh visa dan usaha sedang dibuat bagi mempercepat proses kelulusan visa, dan sekiranya tidak berjaya, pelajar akan ditempatkan dalam penerbangan seterusnya.

No comments:

Post a Comment