Thursday, April 21, 2011

Anak Mantan menteri BN jawab TUN Dr M

Anak Khir Johari Tempelak Mahathir: BN Yang Mainkan Isu Perkauman, Bukan DAP

Zairil kepada Mahathir: Usah berkata jika tiada yang bernas

Saya berasa amat kesal dan kecewa dengan kenyataan terbaru Mahathir Mohamad yang mendakwa bahawa parti DAP telah berjaya membawa politik perkauman kepada Sarawak. Tuduhan sedemikian adalah tidak bertanggungjawab dan tidak berasas sama sekali.

Sebaliknya, adalah sindiran-sindiran yang sebegitu rupa yang menjadi punca ketegangan antara kaum di Malaysia. Sebagai seorang bekas Perdana Menteri dan negarawan yang dihormati ramai, beliau sepatutnya lebih matang dan tidak mengapi-apikan tohmahan yang boleh memecah-belahkan rakyat.

Sebagai seorang yang telah terlibat secara terperinci dalam proses perancangan, perangkaan strategi dan pelaksanaan kempen DAP untuk Pilihanraya Negeri Sarawak baru-baru ini, saya boleh mengesahkan dengan tegasnya bahawa tiada sedikit pun unsur perkauman yang cuba dibangkitkan oleh parti kami.

Sepanjang kempen, isu-isu yang telah kami tekankan adalah seperti masalah pentadbiran, penyalahgunaan kuasa, rasuah yang berleluasa, polisi ekonomi yang tidak memanfaatkan rakyat, inflasi yang kian melambung dan kegagalan kerajaan untuk mengatasi masalah-masalah di atas.

Mungkin dalam pendapat Mahathir, hanya masyarakat Cina sahaja yang mengambil berat tentang isu-isu sedemikian?
Bukankah itu satu penghinaan kepada rakyat Sarawak dan rakyat Malaysia secara umumnya?

Sebaliknya, pihak yang telah cuba menakut-nakutkan pengundi dengan isu-isu perkauman adalah parti-parti daripada BN seperti SUPP, PBB dan MCA.

Namun, rakyat Sarawak telah membuktikan kematangan mereka kerana tidak termakan umpan bersifat parokial seperti dakwaan bahawa "masyarakat Cina" akan kehilangan perwakilan dalam kerajaan jika wakil-wakil Cina daripada BN tidak berjaya dalam pilihanraya.

Seperti yang sudah sedia maklum, keputusan pilihanraya jelas menunjukkan bahawa rakyat Sarawak menolak sama sekali unsur-unsur politik perkauman dan sebaliknya inginkan wakil-wakil yang memperjuangkan keadilan dan kebenaran!

Tambahan pula, kenaikan undi yang diperolehi parti DAP bukan hanya daripada satu kaum tertentu. Dalam kawasan-kawasan seperti Meradong, Dudong dan Kirudong, kejayaan kami adalah hasil tambahan undi kaum Dayak yang cukup memberangsangkan. Di Batu Kawah pula, kemenangan DAP di situ tidak mungkin akan berlaku tanpa undi-undi orang Melayu/Melanau yang telah meningkat dalam sokongannya terhadap DAP.

Hakikatnya, saya yakin bahawa Mahathir sedar dan memahami dinamik politik di negeri Sarawak dan juga di seluruh negara. Namun disebabkan motivasi politik, beliau memilih untuk memainkan sentimen sempit perkauman untuk menjaga kepentingan BN. Sekali lagi, rakyat boleh melihat dengan sendiri bagaimana pemimpin-pemimpin BN akan menggunakan taktik pecah dan perintah untuk mengekalkan kuasa mereka.

Sebagai pengakhir kata, saya ingin mencadangkan satu pepatah bahasa Inggeris: if you have nothing good to say, say nothing at all. Jika anda tidak mempunyai apa-apa yang bernas untuk dikatakan, usahlah meluahkan walau sekata.

*Kenyataan media oleh Zairil Khir Johari selaku Setiausaha Politik kepada Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP)
.

2 comments:

  1. Hangpa tolong perbetui tajuk tu sat aih.
    Mamat ni bukan anak Allahyarham Pak Khir.
    Dia cuma anak tiri.
    Mak dia cha ya nun alif, bapak dia pun cha ya nun alif jugak.
    Pak Khir kahwin dengan mak dia tahun masa dia ni umuq dah belasan tahun dah.
    Tak sah la nak politikkan tajuk tu lebih-lebih. Kalau betui dia anak Pak Khir pun apa masalah? Pasai apa nak kaitkan dia sebagai anak bekas Menteri BN (Pak Khir jadi menteri BN sat sangat saja - sampai 1976...er, Pas tu pun kalau macam tu kata la bekas-parti komponen BN), dia bercakap atas kapasiti dia sebagai Setpol Guan Eng bukan sebagai anak bekas menteri kata sapa ka.

    ReplyDelete
  2. Maaf sat no,
    nak tambah sikit...takut silap faham.
    Tang arwak Pak Khir jadi menteri BN tu...yg dimaksudkan dengan dia jadi menteri BN sat saja ialah sebab BN tu tubuh 1973, Pak Khir khidmat sampai 1976. Sebelum tu dia menteri Perikatan...(masa 1976 tu orang Pas pun ada jugak jadi menteri BN...hehe..melawawak noo!)

    ReplyDelete