SHAH ALAM: Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad mencabar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk mendedahkan perbelanjaan yang dikeluarkan sepanjang operasi membanteras perhimpunan Bersih pada 9 Julai lalu di sekitar ibu negara.
Khalid berkata, beliau difahamkan perbelanjaan tersebut yang meliputi kerahan anggota polis dari Sabah dan Sarawak, logistik dan makanan melebihi jutaan ringgit.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Shah Alam memberitahu sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang selepas terkena kanister gas pemedih mata semasa menyertai perhimpunan yang disifatkannya perhimpunan aman.
"Tetapi saya kena mengambil giliran untuk memfailkan saman tersebut kerana ramai lagi yang dah kena tangkap sebelum hari perhimpunan itu," katanya dalam sidang media di sini pada Jumaat.
Beliau juga menambah, tindakan undang-undang perlu diambil untuk dijadikan sebagai peringatan kepada kerajaan bahawa mereka juga perlu mematuhi undang-undang negara yang menjamin kebebasan individu untuk bersuara di bawah Perlembagaan Persekutan.-mStar
No comments:
Post a Comment