Sunday, July 10, 2011

Kedah gagal dapatkan kembali bunga emas

ALOR SETAR - Kerajaan Thailand menolak permohonan Kerajaan Kedah untuk mendapatkan semula satu daripada bunga emas yang dijadikan ufti pada zaman dahulu.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, Thailand bertegas untuk tidak membenarkan bunga emas itu dikembalikan ke Kedah walaupun untuk tujuan warisan sejarahnya.

“Memandangkan permintaan itu ditolak, anak cucu kita hanya dapat melihat replika bunga emas. Agak sukar untuk kita dapatkan kembali artifak itu dalam bentuk asal.

“Difahamkan cuma dua artifak yang dipamerkan dalam bentuk replika iaitu sepasang pohon bunga emas dan bunga perak,” katanya selepas sambutan Hari Muzium Antarabangsa peringkat negeri di pekarangan Muzium Negeri Kedah, semalam.

Hadir sama, Pengarah Muzium Negeri Kedah, Suhaidi Shukri.

Azizan berkata, selain bunga emas dan perak, terdapat satu lagi replika artifak yang tidak kurang pentingnya iaitu satu daripada dua pasang meriam tembaga yang diabadikan di sebuah Wat Siam di bandar Nakhonsithammarat, Thailand.

Menurutnya, meriam ini tertera nama ‘Kedah Darul Aman’, nama penjualnya dan tarikh hijrah tahun meriam itu dibeli.

“Difahamkan replika meriam itu kini dipamerkan di hadapan pintu masuk ke bangunan muzium,” katanya.

Azizan berkata walaupun sedikit terkilan kerana masih ada bahan peninggalan sejarah Kedah berada di luar negara seperti di Thailand akibat diserang dan ditawan oleh Ligor pada 1821, namun sukar untuknya menuntut semula artifak berkenaan kerana sudah menjadi hak negara itu ketika dijadikan harta rampasan perang.

Menurutnya, jika ada peminat sejarah yang menyimpan atau memiliki artifak atau barangan lama yang bernilai dari sudut sejarah dan budaya, beliau memohon mereka dapat menyumbangkan kepada muzium untuk dipamer kepada seluruh rakyat negeri ini.

Sehubungan itu, semua pegawai dan kakitangan muzium perlu lebih berhati-hati menyediakan sesebuah kapsyen kerana maklumat terbaik mampu memberi pengetahuan yang mudah difahami dan dimanfaatkan pelawat.

“Muzium adalah sebuah pusat sumber informasi. Oleh itu kapsyen antara sumber rujukan penting dalam memberi informasi kepada pelawat,” katanya.

Azizan berharap semua pihak bersatu tenaga dan berfikiran terbuka bagi mendukung tanggungjawab yang diamanahkan agar sejarah dan budaya negara dapat terus dipertahankan sebagai satu identiti kebangsaan.

“Semua pihak perlu mempelbagaikan peranan muzium bukan sahaja sebagai gedung khazanah sejarah dan budaya negara tetapi penyebar maklumat, mendidik masyarakat, memupuk semangat kesedaran terhadap sejarah dan budaya,” katanya.

No comments:

Post a Comment