Thursday, July 14, 2011

Khilaf terbesar: Program BERSIH & Penjajahan minda

oleh ELVIZA
7/13/2011 7:55:19 AM

Langit Kuala Lumpur petang 9 Julai, menangis. Hujan lebat mengekang ion-ion gas pemedih mata disembur ke arah rakyat yang berarak di jalanan. Rakyat dikecam sebagai hooligan atau samseng jalanan, pengkhianat aktiviti ekonomi atau demonstran perhimpunan haram di sisi undang-undang.

Tetapi untuk saya, Kuala Lumpur tidak menangis kerana merintihi tyranny di tanah bertuah, bumi keramat ini; Kuala Lumpur menangis kerana matahari demokrasi dan kebebasan bersuara masih menyala, jadi obor penyuluh gelita. Walau tidak sempurna, hak itu tetap ada. Tidak pasti di mana paksi pegangan anda, tetapi untuk saya yang masih mentah, perkara di bawah payung Perlembagaan Persekutuan amat jelas.

Walau bakal dituduh pseudo-liberal bengap sejarah, atau lebih teruk lagi dilabel persis mak nenek kuat membebel, saya ulang semula semangat di bawah Perlembagaan Persekutuan: Perkara 10(1)(a)dan(b) memberi hak kepada setiap rakyat Malaysia untuk mengeluarkan pendapat dan berhimpun secara aman.

Hak ini, bagaimanapun, tertakluk kepada pengecualian di bawah Perkara 10(2),(3)dan(4) sekiranya perhimpunan tersebut mencabar keselamatan negara (national security). Sementara Seksyen 27(5) Akta Polis 1967 yang memaktubkan rakyat perlu permit untuk berhimpun bercanggah dengan semangat di bawah Perlembagaan Persekutuan. Perkara 20(1) Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat juga mendukung kebebasan di bawah Perkara 10(1) di atas. Maaf cakap, kalau setakat mahu berhimpun menyatakan pendapat, sekurang-kurangnya dalam kamus hidup saya, tidak jatuh dalam fasal keselamatan negara.

Tetapi kenapa hari minggu warga kota berantakan? Enteng sahaja. Itu akibatnya apabila nakhoda-nakhoda pemimpin negara - yang rata-rata berkiblatkan egoisme dan agenda masing-masing - gagal mencari titik penyelesaian atas nama tolak-ansur. Jelas tolak-ansur itu mudah di mulut, seksa di perut. Keikhlasan itu sangat mahal harganya.

Jangan kita melatah mengecam polis yang menjadikan lalu-lintas Kuala Lumpur lebih teruk dari Jakarta pada petang 8 Julai; jangan kita mengecam mereka kerana menyembur gas pemedih mata atau mengasari demonstran; jangan kita memuji polis kerana cekap menangkap nama-nama yang telah diperintahkan di bawah Seksyen 98 Kanun Prosedur Jenayah agar tidak memasuki Kuala Lumpur; jangan mengutuk polis kerana menjamu para demonstran dengan buffet makanan sedap-sedap. Mereka itu boneka tanpa jiwa, aksi dan suara mereka adalah mainan tok dalang wayang kulit dalam arena politik negara.

Jika benar ada molotov cocktail dan parang dalam kereta si demonstran, kenapa paraphernalia itu tidak digunakan pada 9 Julai? Jika benar tanggapan apabila ramai berkumpul negara bakal jadi huru-hara, kenapa pagi Ahad 10 Julai, Kuala Lumpur masih bernafas seperti biasa?

Soalan terakhir yang kuat mengganggu minda: kenapa ditangkap lalu diseret ke mahkamah si penjual baju kuning di Kota Bharu dan Alor Setar? Cara penangkapan dan liputan media yang diuar-uarkan persis mereka itu penjenayah besar.

Tidak, saya tidak melupakan rintihan hati pedagang dan pemandu teksi kota yang bersungut kerana hilang pendapatan pada hari tersebut. Tetapi bukankah negara ini mempraktikkan sistem keadilan sekata? Tepuk dada tanya peguam anda, sekiranya mantap kes dibina, saman sahaja semua yang terlibat. Tetapi jangan lupa, bukan demonstran baju kuning sahaja bertanggungjawab. Si baju merah pula bagaimana?

Dan untuk segelintir yang berpendapat kononnya demonstrasi jalanan bukan budaya kita orang timur, maaf saya tidak setuju. Perkara budaya dan adat bukan boleh dikoreografikan dalam rentak hak rakyat di bawah Perlembagaan Persekutuan. Untuk apa bersorak mempertahankan budaya jika minda terjajah? Seperti pernah saya kicaukan di laman Twitter: khilaf insani yang terbesar adalah apabila kita cuba untuk menjajah minda.

Aspirasi keamanan, kebebasan dan hak untuk bersuara bersifat universal, bukan novelty. Perang minda seharusnya lebih menjurus untuk memenangi kepercayaan di hati dan persepsi di mata rakyat, bukan untuk menayang kemampuan pihak berkuasa mengekang huru-hara yang ‘bakal’ tiba.

Untuk suami, saya pohon maaf kerana pendapat saya hanya berpaksikan Perlembagaan Persekutuan semata, bukan practicality. Juga untuk pembaca budiman yang tidak bersetuju dengan komentar saya minggu ini, tidak mengapa, kerana Mahatma Gandhi pernah berkata, “honest disagreement is a good sign of progress.”

Elviza juga seorang peguam sedang berkicau di http://twitter.com/elviza.

No comments:

Post a Comment