Juadah tak halal: NGO Melayu bakar The Star
Sekumpulan kecil lelaki berhimpun di hadapan pejabat akhbar The Star Pulau Pinang hari ini dan membakar akhbar berkenaan kerana menyiarkan artikel juadah berbuka puasa dengan memuatkan berita tentang restoran tidak halal dalam segmen sisipannya.

NGO berkenaan termasuk kumpulan pendesak Melayu PERKASA cawangan Pulau Pinang, Suara Anak Anak Malaysia (SAAM) dan Persatuan Kemajuan Insan Malaysia.
Sambil membawa sepanduk kuning dengan slogan anti-The Star, mereka juga menuntut Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan lanjut ke atas editor akhbar milik MCA itu.
Mereka juga memberi amaran 'tindakan lebih besar' jika akhbar itu gagal memohon maaf secara serius kerana menyiarkan artikel berkenaan.

Ketua Timur Laut PERKASA Mohd Ridzuan Mohd Azuddin berkata akhbar itu hanya mewakili golongan minoriti di negara ini tetapi telah melukakan perasaan golongan majoriti yang kebanyakan mereka beragama Islam.
Beliau mahu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengenakan tindakan tegas dan keras ke atas The Star dan editornya.
“Mereka belum minta maaf secara serius bagi kesilapan mereka itu. Editor mesti bertanggungjawab terhadap kesilapan itu,” katanya.

Sebelum ini, The Star telah menyiarkan dua permohonan maaf, iaitu pada 12 dan 17 Ogos lalu dengan yang terakhir memperincikan bagaimana kesilapan itu berlaku sambil menambah bahawa editor halaman sisipan berkenaan Johnni Wong juga telah digantung tugas.
http://www.malaysiakini.com/news/173389
No comments:
Post a Comment