Saturday, September 10, 2011

Hanya dongeng politik UMNO...

Hanya dongeng politik: Ismail

ALOR SETAR - Pas Kedah menyifatkan dakwaan 10 keluarga penyokong tegar Pas keluar parti untuk menyertai Umno di Kuala Nerang kelmarin hanya dongeng politik bertujuan memberi imej buruk kepada Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan parti.

Timbalan Pesuruhjaya II, Dr Ismail Salleh berkata, Pas Kedah yakin tindakan beberapa individu keluar parti merupakan hasil provokasi golongan tertentu yang cuba menggambarkan perpecahan dalaman sudah berlaku dalam parti akibat kenyataan Mohamad atau Mat Sabu mengiktiraf Ahmad Indera atau Mat Indera sebagai wira kemerdekaan negara.

Menurutnya, BN dan Umno cuba mencetuskan satu konspirasi politik untuk mengikis kepercayaan ahli Pas terhadap Mat Sabu kerana bimbang terlalu banyak ruang diberikan kepada bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah itu.

:“Saya ingat ini lebih kepada politik, kita perlu memahami sejarah sebenar, dulu Jebat orang kata penderhaka, tapi kini ada orang iktiraf dia sebagai hero. Begitu juga dengan pejuang kemerdekaan, yang menentang British antaranya komunis dan guru agama.

“Saya tidak fikir ahli Pas marah Mat Sabu. Cuba baca kenyataan Ketua Umno Bahagian Padang Terap, (Datuk Seri) Mahdzir Khalid, Kerajaan Pusat terlalu banyak beri ruang kepada Mat Sabu, jadi Mahdzir tidak setuju, justeru perkara ini permainan politik semata-mata,” katanya kepada Sinar Harian selepas menghadiri Pesta Tanglung anjuran Persatuan Penduduk Taman Mangga, Alor Mengkudu semalam.

Turut hadir Exco Hal Ehwal Masyarakat Cina, Tan Chow Kang.

Ismail berkata, Pakatan Rakyat (PR) dengan kerjasama beberapa tokoh sejarah dan pensyarah tempatan sedang giat mengadakan wacana sejarah kemerdekaan dari semasa ke semasa untuk memberi ruang kepada orang ramai memahami pengertian sejarah sebenar.

Menurutnya, wacana itu sudah dimulakan Mat Sabu di Selangor dua hari lalu dan kini akan bergerak ke setiap negeri untuk memberi ruang kepada tokoh sejarah dan ahli akademik membincangkan semula di mana duduknya Umno sewaktu penentangan pejuang asai kemerdekaan terhadap British.

“Wacana itu akan dedahkan bagaimana Umno muncul pada saat akhir kemerdekaan hampir dicapai dengan cara menangguk di air yang keruh sekali gus membuka mata rakyat mengenai fakta sejarah sebenar yang diputar belit hasil tulisan penjajah,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/sh/utr/content/story9513547.asp

No comments:

Post a Comment