Saturday, September 10, 2011

Penduduk sumbang tenaga

BALING - Seorang penduduk Kampung Lanai, bersyukur setelah masalah rumahnya yang berada di kawasan tanah rendah dan sering dilanda banjir kilat mendapat perhatian banyak pihak yang membantu untuk membaik pulih rumahnya.

Pelbagai pihak iaitu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), orang perseorangan termasuk Majlis Ketua Kampung (MKK) menyumbang pelbagai bentuk bantuan kepada Minah Ahmad, 53, termasuk wang ringgit dan barangan keperluan.

Minah yang hanya bekerja sebagai penoreh getah itu berkata, perhatian dari pihak terbabit sememangnya dihargai.

“Saya bersyukur kerana masalah saya mendapat perhatian banyak pihak seterusnya dapat menamatkan penderitaan saya selama ini.

“Sebelum ini, saya terpaksa tidur dalam keadaan sejuk apabila air hujan sering melimpah dan masuk ke dalam rumah saya,” katanya.

Menurutnya, pendapatannya yang hanya sebagai penoreh getah dan masih mempunyai tanggungan itu tidak mampu membaiki kawasan rumahnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Lanai, Ghazali Purad, 53, berkata, bantuan berkenaan melibatkan kos meninggikan tanah, dan baik pulih rumah.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus lumus membantu dalam menyelesaikan masalah Minah,” katanya.

Katanya, pembaikpulihan rumah ini dilakukan secara bergotong royong oleh penduduk setempat.

“Rumah Minah mungkin lewat disiapkan sekiranya tidak dibantu oleh penduduk setempat yang turut menyumbang tenaga untuk memastikan semuanya berjalan lancar. Mengikut perancangan rumahnya mungkin akan siap sepenuhnya dalam masa beberapa hari lagi.

“Sehubungan itu, saya berharap Minah dan keluarga dapat menikmati kehidupan dengan lebih sempurna selepas ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment