Friday, October 21, 2011

Kaji istilah Thailand/Siam


SUNGAI PETANI - Kementerian Pengajian Tinggi diminta untuk mengkaji semula penggunaan istilah Thailand/Siam dalam borang urusan rasmi di bawah kementerian bagi mengelak sebarang masalah pada masa hadapan.

Ahli Dewan Negara, Senator Boon Som Inong berkata, penggunaan istilah Thailand/Siam yang merujuk kepada keturunan masyarakat Siam di negara ini dalam setiap borang urusan rasmi kementerian terbabit adalah dianggap tidak tepat.

Menurutnya, penggunaan istilah terbabit dianggap tidak tepat kerana ia menggambarkan masyarakat Siam di negara ini bukan warganegara dan dikhuatiri menjejaskan peluang anak-anak masyarakat Siam untuk mendapat tempat dan bantuan sewajarnya dari agensi berkaitan.

“Ramai masyarakat Siam di negara ini tidak setuju dengan penggunaan istilah keturunan Thailand/Siam pada borang-borang rasmi seperti permohonan Unit Pusat Universiti (UPU), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan borang institut pengajian tinggi awam (IPTA) di bawah kementerian.

“Saya menyarankan kementerian mendapatkan rujukan dan kepastian daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengenai penggunaan istilah Thailand/Siam kerana kami berpendapat penggunaan istilah keturunan Thailand/Siam tidak begitu tepat memandangkan ia boleh membawa erti anak-anak Siam di negara ini adalah rakyat Thailand,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Boon Som berkata, pihaknya telah mengemukakan soalan bertulis kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishamuddin Tun Hussien berkaitan masalah ini dalam persidangan Dewan Negara pada 7 Julai lalu.

Menurutnya, Hishamuddin menjelaskan (nombor rujukan dewan 3977) bahawa pada Jun 2009 melalui arahan JPN Bilangan 4/2009, istilah keturunan Siam digunakan bagi kanak-kanak yang dilahirkan oleh pasangan ibu bapa warganegara berketurunan Siam dan dilahirkan di negara ini.

Katanya, istilah keturunan Thai pula digunakan bagi kanak-kanak yang dilahirkan oleh pasangan ibu bapa warganegara Thailand.

“Kami berharap kementerian lebih peka terhadap isu terbabit dan sensitiviti masyarakat Siam yang dianggarkan berjumlah 80,000 orang di negara ini kerana istilah Thailand/Siam memberikan maksud berbeza,” katanya. [Sinar Harian]

No comments:

Post a Comment