Wednesday, October 19, 2011

Karnival Jom Pi Muzium Padi mulai hari ini

ALOR SETAR 19 Okt. - Orang ramai dijemput beramai-ramai memeriahkan Karnival Jom Pi Muzium Padi yang akan berlangsung selama 10 hari di pekarangan Muzium Padi, Gunung Keriang di sini, bermula esok.

Pengarah Perbadanan Muzium negeri, Suhaidi Shukri berkata, penganjuran karnival berkenaan antara lain bertujuan mempromosikan Muzium Padi dan memberi peluang kepada orang ramai untuk mengenalinya dengan lebih dekat.

"Ia juga bagi memberi peluang perniagaan kepada usahawan-usahawan tempatan menjual dan mempromosikan produk masing-masing," katanya di sini, baru-baru ini.

Suhaidi memberitahu, pelbagai aktiviti menarik disusun sepanjang karnival itu berlangsung untuk disaksikan dan disertai oleh orang ramai.

Katanya, antara aktiviti diadakan ialah demonstrasi masakan, pertandingan bola sepak bendang, memancing di tali air, serkap ikan, pertandingan wau, memasak dan gubahan selain gerai jualan dan pameran oleh pelbagai agensi kerajaan serta swasta.

"Pertunjukan pentas dan hiburan oleh artis jemputan seperti persembahan nasyid oleh Kumpulan Zahran dan Rabbani serta persembahan Wayang Kulit Seri Asun turut disediakan bagi memeriahkan karnival ini.

"Setiap malam akan menampilkan artis yang berbeza. Forum Perdana turut diadakan pada 27 Oktober ini," katanya.

Menurut Suhaidi, pengunjung yang hadir bukan sahaja akan terhibur bahkan berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik seperti seekor lembu, kambing dan barangan elektrik dalam acara cabutan bertuah.

Katanya, syarat yang melayakkan pengunjung merebut hadiah cabutan bertuah ialah dengan membuat pembelian minimum sebanyak RM10 di karnival tersebut.

"Jangan lepaskan peluang untuk berkunjung ke karnival ini dan menyertai pelbagai aktiviti menarik yang diatur sebagai pengisian program," katanya.

No comments:

Post a Comment