Wednesday, October 19, 2011

Sejarah + Persepsi = ?

Oleh MOHD FADZIL YUSOF

PERSEPSI bukan sejarah. Sejarah bukan benda hidup yang dapat membuktikan semua betul atau tidaknya. Zahirnya, sejarah adalah iktibar renungan dan menjadi pedoman.

Ramai terperangkap dengan sejarah sebagai pembetulan dan sebagai penanda sesuatu kebenaran. Selagi sejarah ditanggani manusia, yang mencampurkannya dengan persepsi selagi itu sejarah tinggal dalam keadaan pembauran dengan persepsi itu, tidak tuntas dengan sifat sejarah nan sejarawinya.

Kita jarang memperkata sejarah, khususnya dalam membicarakan perihal politik.

Sudah sekian lama sejarah menjadi teks kaku dan aksara yang dihafal. Sejarah tidak menjadi subjek untuk melihat ke depan atau dijadikan pedoman, tetapi menjadi bahan hafalan, ulangan yang menjemukan.

Ini kebiasaan dan realiti sejarah dalam pendidikan dan kebudayaan kita.

Ditambah pula hilangnya elemen pewarisan seperti dahulu, dengan adanya cerita lisan yang ditutur kepada generasi kemudian. Penulisan sejarah dan pensejarahannya atau pengkajiannya pula selalu berada dalam ‘oven’nya. Tidak dimasak atau dihidangkan. Ia disimpan seperti buku masakan.

Maka, sejarah sepatutnya menjadi faktor pembinaan diri dan jati diri, tidakpun mencapai objektifnya kerana betapa malangnya subjek sejarah bangsa yang hanya menjadi nota-nota yang dibaca secara tidak lengkap, tidak ada pembaharuan dan tidak penuh dengan keasliannya.

Penjuzukan dan pengasingan sejarah – antara sejarah yang kini agak banyak disebutkan – adalah sejarah pihak menang dan sejarah pihak di sebaliknya yang mana kedua-dua ini berasingan dan tidak membantu membetul kefahaman sejarah yang mantap, sebaliknya hanya mendedah masalah salahfaham sejarah dan kemalasan untuk berfikir dan mengkaji apatah menjauhkan diri daripada masyarakat dan generasi muda untuk menghayati sejarah dan kebenaran dalamnya.

Maka sejarah seharusnya sebuah rantaian episod panjang dan tidak mungkin dipotongpotong mengikut sesedap rasa dan berlapik dengan alasan.

Kesilapan meletakkan sejarah bersama persepsi akan membuatkan sejarah itu dengan sendiri sudah bercampur-baur dengan fakta yang bukan sejarawi lagi, kerana pengubahan dari sesuatu hal boleh membawa tafsiran dan kefahaman yang berbeza.

Teks sejarah – seharusnya jadi pegangan. Seharusnya menjadi bacaan bukan tafsiran dan persepsi di sekitarnya.

Sejarah selalu mempertembung kepada pembacanya semacam suatu dilema apabila pembaca bertembung dengan fakta-fakta yang saling bertentangan dan tidak mudah menemukan sisi kebenarannya. Persimpangan kecelaruan ini mudah sahaja mengundang polemik seperti yang sedang berlaku sekarang.

Pengacuan sejarah itu sekarang ini dipersoalkan, seperti yang zahirnya seakan-akan menampakkan bahawa sejarah yang bersifat arus perdana ini, kian diragui dan memerlukan kepada pandangan semula.

Selama ini sejarah hanya cerita, seperti didapati dalam Sejarah Melayu. Tetapi hari ini sejarah tentang sebelum berjelmanya Kemerdekaan itu, ia menjadi titik tanya. Malahan perihal sejarah itu pula bersifat mustahak untuk dibangkitkan.

Maka sejarah adalah bukan semata-mata tentang siapa dan di mana dan bila dan mengapa?

Tetapi seharusnya melebihi daripada semua itu, iaitu menjadi sebuah cerminan kepada diri dan bangsa itu sendiri?

Bagaimana sikap kita terhadap sejarah, apakah dengan sekadar berhujah atas angin akan dapat menyelesaikan semua ini. Sedangkan sejarah adalah suatu yang mengundang serba kemungkinan dan terbuka dengan penghujahan selagi punya data.

Malahan sifat sejarah itu juga berteka-teki, menjadi kita perlu berani mengambil keputusan untuk melihat kebenaran bukan menidakkan atau mahu menjauhinya.

Hakikat sejarah yang perlu diakui, adalah ia berkembang pada keadaannya. Salah satu kefahaman yang terbiasa dalam menjadi nilai pula dalam masyarakat kita, iaitu berasa janggal dengan pandangan berbeza, baharu atau bersifat lari atau lain sedikit kebiasaan.

Padahal kebiasaan belum tentu menunjukkan keabsahan kebenaran. Betapa banyak fahaman di alur ‘kebiasaan’ dalam kebiasaan kita malah menjadi kepercayaan dan ikutan.

Justeru, dalam perihal berinteraksi dengan sejarah – kepelbagaian persepsi adalah lumrah. Kebergantungan interpretasi juga selalu mengambil tempat sesuatu keadaan dalam menentukan kebenaran. Maka, kegagalan sejarah berada dalam suara murninya selalu tercemar diganggui pelbagai faktor, tidak terkecuali faktor kebiasaan menerima sesuatu fakta, interpretasi yang memihak (menjauhi yang mengugat) dan persepsi yang belum benar-benar luhur.

Ini mengingatkan penulis bagaimana sasterawan Pramoedya – menulis juga sejarah kembali dan sebenarnya penulisan seumpama yang diusahakannya adalah menyingkap beberapa episod sejarah yang tertutup dan tidak memihak bertujuan untuk memberi makna sejarawi yang adil dan menguntungkan bangsa Indonesia.

Namun, Pram disalahfahami pemerintah, hingga memalangkan karyanya yang banyak bersumber daripada sejarah dan kebudayaan. Antara yang cuma dilakukan misalannya, Gadis Pantai, Panggil Aku Kartini Saja, Jalan Raya Pos, Jalan Daendels dan lain-lain lagi.

Apakah sebenarnya menulis sejarah semula dan mengungkap sisi-sisi yang berbeza daripada sejarah arus perdana, sebenarnya lebih membawa mudarat berbanding manfaat? Ini kerana selamanya ini sejarah dilupakan apatah lagi generasi masa kini terbiasa dengan silibus yang tidak kritikal mengembang fikir dan jati diri yang mandiri.

No comments:

Post a Comment