Sunday, October 2, 2011

Tu dia aihhh...Lima kali turun naik JKM

NAGA - Seorang suri rumah di Kampung Lubuk Kawah di sini sudah tidak larat lima kali turun naik ke pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kubang Pasu biarpun permohonan bantuan bulanan ibunya telah diluluskan sejak Mei lalu.

Nazliyah Abd Razak, 38, mendakwa dia kesal dengan maklum balas yang diterima daripada pihak berkenaan walaupun permohonan bantuan pesakit terlantar sebanyak RM300 untuk ibunya, Che Om Dahman, 60.

Menurutnya, kali pertama dia ke pejabat itu adalah pada 30 Jun lalu iaitu tarikh yang tertera pada surat makluman kelulusan permohonan itu untuk menerima bayaran bagi bantuan bulanan ibunya yang telah diluluskan di pejabat berkenaan.

“Bagaimanapun saya dimaklumkan untuk datang semula pada 7 Julai dan kemudian ditangguhkan ke tarikh 12 Julai, 27 Julai dan terakhir 16 Ogos lalu namun masih berlaku masalah sama kerana tidak menerima sebarang bayaran seperti yang dijanjikan itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Che Om lumpuh sebahagian badan kirinya sejak Januari lalu selepas tangannya tidak boleh bergerak sewaktu sedang menunaikan solat Zuhur pada hari itu.

Nazliyah yang juga anak ketiga daripada tujuh beradik itu berkata, dia sangat berharap masalah itu dapat diselesaikan segera memandangkan dia terpaksa menanggung perbelanjaan harian untuk membeli lampin pakai buang dan keperluan ibunya yang lumpuh selain ibu saudaranya yang juga lumpuh dan mengalami masalah mental.

Menurutnya, bapanya Abd Razak Bakar, 67, juga sudah tidak mampu melakukan kerja-kerja kampung kerana mengalami penyakit sendi pada bahagian lutut dan tidak mampu menyara keluarga.

“Saya gembira apabila JKM telah meluluskan permohonan untuk ibu saya itu kerana ia dapat mengurangkan bebanan yang ditanggung kami sekeluarga untuk keperluan ibu, namun bila berlaku perkara begini ia sungguh mengecewakan.

“Ibu saudara, Yah Dahman, 70, juga dijaga keluarga kami selepas dia mengalami masalah mental dan kemudiannya lumpuh selepas itu,” katanya.

Nasib menimpa keluarga itu turut mendapat perhatian Biro Kebajikan Umno Kubang Pasu apabila Pengerusinya, Saad Yob melawat dan menyampaikan bantuan kerusi roda untuk memudahkan pergerakan Che Om selain sumbangan barangan keperluan dan wang ringgit.

Sementara itu, Pegawai Kebajikan Daerah Kubang Pasu, Mohd Shabbri Othman ketika dihubungi untuk meminta maklum balas mengenai hal itu berkata pihaknya sudah menyemak semula mengenai permohonan itu dan kesal dengan masalah yang timbul.

Menurutnya, berlaku kesilapan teknikal pada baucar bayaran untuk permohonan penerima dan pihaknya memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku.

“Bagaimanapun kita akan membuat semua pembayaran tertunggak sejak tarikh permohonan diluluskan kepada pemohon pada 3 Oktober ini (esok),” katanya.[SinarHarian]

No comments:

Post a Comment