Thursday, November 17, 2011

Jawapan Isu Kerajaan Negeri hendak pulangkan tanah yang telah di rampas oleh K'jaan dahulu di Langkawi

Kerajaan Kedah Serius Tangani Masalah Tanah Hendak Dimajukan - Azizan

ALOR SETAR, 17 Nov (Bernama) -- Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata kerajaan negeri serius dalam menangani masalah tanah dan tidak melengah-lengahkan proses permohonan tanah yang hendak dibangunkan.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan negeri tidak pernah sewenang-wenangnya memulangkan tanah yang dirampas seperti didakwa sebelum ini.

Katanya, dalam kes tanah di Langkawi yang dirampas daripada seorang tokoh terkenal pada 2007 kerana gagal membayar cukai berjumlah RM14 juta, kerajaan negeri bersedia memulangkannya apabila pihak terlibat menyatakan kesanggupan membayar cukai tanah sebanyak RM20 juta.

"Dalam hal ini, apabila tanah dirampas, kami memberi keutamaan tanah itu diberikan kepada pihak yang asal jika dia sanggup memenuhi dan menyelesaikan cukai yang dituntut," katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Sultan Kedah ketika merasmikan persidangan Dewan Undangan Negeri dan Rang Undang-Undang Peruntukan 2012 oleh Kerajaan Negeri Khamis.

Semalam, Ketua Pembangkang Datuk Seri Mahdzir Khalid meminta kerajaan negeri mengikut kaedah Kanun Tanah Negara dan bukan cara sendiri dalam menangani masalah tanah yang dirampas ketika beliau menjadi Menteri Besar.

"Memang kerajaan dahulu nampak macam zalim sebab rampas tanah itu. Kita rampas tanah itu kerana pemiliknya hanya bayar premium tanah tetapi gagal membayar cukai taksiran tanah berjumlah RM14 juta," kata Mahdzir.

Azizan berkata kerajaan negeri serius dalam perkara itu dan ia bukan sekadar membabitkan permohonan tanah yang hendak dibangunkan malah masalah pencerobohan tanah.

"Kita tahu ada sindiket dan kita serius untuk mengatasi perkara ini," katanya.

Sementara itu, beliau akan berbincang dengan Pegawai Kewangan Negeri untuk melihat jika ada ruang elaun Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dinaikkan berikutan beban tugas serta kewangan yang semakin bertambah.

"Saya faham bahawa elaun yang ada agak rendah dan kerja banyak. Bagaimanapun kita kena lihat kepada kemampuan kita dahulu," katanya.

Mengenai Jeti Kuala Kedah, yang dikatakan berada dalam keadaan yang tidak begitu baik bagi menampung pengunjung ke Langkawi, Azizan berkata kerajaan negeri merancang untuk menaik taraf jeti itu dan membina lebih banyak tempat parkir.

"Ada dua syarikat sedang berunding dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri untuk memajukan kawasan itu dan mewujudkan bandar baru," katanya mengulas dakwaan beberapa ADUN bahawa pengunjung ke Langkawi lebih berminat menggunakan Jeti Kuala Perlis.

Beliau berkata selain itu, kerajaan negeri berhasrat menaik taraf kemudahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi seperti menyediakan kemudahan aerobridge.

"Selain itu, Istana Sultan Kedah di Bukit Malut, Langkawi dijangka siap pada Jun depan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Azizan berkata kerajaan negeri bercadang mewujudkan dua kawasan bebas cukai di sempadan Kedah-Thailand iaitu di Changlun dalam daerah Kubang Pasu, dan Durian Burung di Padang Terap.

"Kedua-dua kawasan itu mempunyai kemudahan yang baik seperti jalan. Usaha ini akan memajukan lagi Negeri Kedah," katanya.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment