
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pembayaran gaji dan bonus bernilai jutaan ringgit kepada Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bagi tempoh dua tahun adalah munasabah dan berdasarkan prestasi kerjanya.

"Jumlah gaji yang diterima adalah munasabah dan setimpal dengan bebanan kerja asalkan tiada unsur rasuah dan berlaku penyelewengan.
"Kajian menunjukkan orang yang menguasai banyak syarikat berkaitan kerajaan memperoleh pendapatan melebihi RM1 juta setahun," katanya ketika menggulung perbahasan mengenai Belanjawan Selangor 2012 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Shah Alam, semalam.

Menurutnya berdasarkan perangkaan pada 2009, Pengurus Besar PKNS menerima gaji dan bonus berjumlah RM640,000 dan RM760,000 pada 2010.
Abdul Khalid berkata bagi Kerajaan Negeri Selangor, pendapatan Pengurus Besar PKNS dinilai berdasarkan prestasi beliau dan PKNS itu sendiri.
"Sejak 2009 hingga 2011, pencapaian pengurus besar dan PKNS boleh dikategorikan sebagai baik," katanya.
Bagaimanapun, katanya pihaknya akan menilai semula pemberian bonus kepada pengurus besar PKNS.

Beliau berkata berdasarkan Laporan Kewangan pada 31 Mac 2008, rezab negeri Selangor yang ditinggalkan oleh Dr Mohamad Khir adalah RM689 juta.
Persidangan DUN disambung hari ini.
- Bernama
No comments:
Post a Comment