Sunday, December 11, 2011

Ahli Umno dan orang Umno

Oleh : RAHMAN SHAARI

http://umno-online.com/wp-content/uploads/2011/11/amanat-presiden-bersemangat-perhimpunan-melayu-terbesar.jpgBagi saya, Persidangan Umno (29 November - 3 Disember) lalu memberikan kesan tertentu. Apa-apa yang berkesan kepada saya, mungkin tidak berkesan kepada orang lain, namun saya yakin, sesiapa yang mengikuti persidangan itu dengan rapi pasti memperoleh kesan.

Seorang teman mengatakan bahawa dia lebih menyukai gelek Daud Kilau berbanding persidangan politik, kerana pidato dalam persidangan politik terlalu bersifat retorik dan banyak mengata orang. Itu betul, dengan syarat dia tidak menyukai kongres atau muktamar semua parti politik, bukan Umno saja.

Konsep ‘orang Umno’ yang dikemukakan Datuk Seri Mohd Najib mengingatkan saya pada peristiwa lama. Saya segera teringat akan sikap dan tingkah abang ipar saya dalam dekad 1960-an dan awal 1970-an. (Ketika itu bapa saya telah meninggal, dan saya tinggal bersama-sama dengan kakak dan abang ipar).

Abang ipar saya itu ialah ‘orang Umno’. Bukan sekadar ‘ahli Umno’, bahkan bukanlah mustahil beliau (Din Ibrahim namanya) tidak menjadi ‘ahli Umno’ secara rasmi, kerana dia bukanlah rakyat yang suka kepada kertas dan pen untuk mengisi borang. Kini abang ipar saya itu telah tiada, jadi saya tidak dapat mengesahkan adakah dia ahli. Walau bagaimanapun seluruh kampung nampak dia sebagai ‘orang Umno’.

Peristiwa tidak dapat saya lupakan ialah dialog antara kami berdua dalam tahun 1969. Abang ipar saya selalu balik lewat malam kerana singgah di mana-mana saja berbual tentang politik. Saya tahu itu, kerana sesekali saya bersama-sama dengannya, saya mendengar dia berhujah membela Umno habis-habisan. Dia mendapat maklumat daripada siaran radio, bukannya akhbar. Saya sendiri jarang melihat surat khabar di tangannya, dan tidak juga di tangan sesiapa di dalam kampung saya.

Lawan abang ipar saya ialah seorang lebai yang kuat Pas. Jika kita gunakan istilah Najib, lawannya itu ialah ‘orang Pas’. Ada juga kemungkinan lebai itu tidak mendaftarkan dirinya menjadi ‘ahli Pas’. Perbalahan antara abang ipar saya dengan lebai itu menjadi kenangan yang sesekali muncul dengan jelas, tetapi kemudian hilang dari ingatan saya. Penekanan lebai itu ialah bahawa Pas (1969 dan sebelumnya) tidak bergantung kepada parti lain, tidak seperti Umno yang berkawan baik dengan MCA dan MIC. “Kami bersendirian menentang Umno, MCA dan MIC, kerana kami anak jantan,” demikian kata Abu Bakar Hamzah, tokoh Pas ketika itu.

Episod yang betul-betul kukuh di ingatan saya ialah jawapannya terhadap soalan saya. Saya bertanya, “Abang, mengapakah abang berkempen habis-habisan membela Umno, sedangkan kita makan nasi lauk ikan kering?”

Tentulah para pembaca faham akan soalan saya. Saya ketika itu berusia 20 tahun, dan telah melihat ada orang parti hidup senang, terutama yang terpilih menjadi wakil rakyat. Abang ipar saya tidak membawa apa-apa kesenangan ke rumah kami.

Jawapan abang ipar saya luar biasa untuk dipadankan dengan dirinya sebagai orang kampung yang hanya pernah bersekolah rendah. Katanya: “Kau tak tau.” “Aku memang tak tau, sebab tu aku tanya,” saya bersuara tegas. (Kami menggunakan kata ganti ‘aku’).

“Ini soal jiwa. Umno berada dalam jiwa aku. Umno tidak perlu membawa daging ayam atau daging lembu kepada aku. Lauk ikan kering tu pun bukan Umno yang bagi. Aku sayang kepada Umno, dan aku tak perlu apa-apa daripada Umno. Esok-esok, jika kau sayang kepada sesiapa, yang penting ialah rasa sayang itu. Kau tak akan tanya apa kau dapat daripada orang tu. Betina yang sayang kepada kau pun tak akan minta apa-apa, jika dia betul-betul sayang. Itulah kasih sayang sejati.”

Jawapan abang ipar saya membuat saya kalah. Saya tidak menjawab. Memang betul, jika kita menyayangi sesuatu kita tidak meminta apa-apa daripadanya. Saya pernah mendengar kata-kata Hamka, “Cinta tidak bertujuan memiliki!” Sampai sekarang pun, kita mendapati peminat bola tidak meminta apa-apa daripada bola. Pokok bunga dan kucing tidak memberikan apa-apa kepada tuannya, tetapi tuannya menyayangi kedua-duanya. Kerap berlaku kucing hanya memberikan tahi kucing!

Kisah abang ipar saya terhenti di sini. Sekarang, kita pergi pada perjuangan. Dalam beberapa percakapan di beberapa tempat, saya menyatakan bahawa kesemua parti politik adalah baik, kerana tidak ada perlembagaan parti yang buruk. Rakyat akan memilih parti yang bersungguh-sungguh memaparkan kebaikan.

Jika ‘orang Umno’ yang amat setia masih ada di tengah-tengah Umno sekarang, adalah perlu Umno memberikan perhatian rapi kepada mereka. Orang begitu amat berharga. Cuma satu hal perlu ditegaskan: ‘Orang Umno’ tidak perlu berkonflik tajam dengan ‘orang Pas’, kerana perlembagaan tidak menyatakan begitu. Konflik antara dua parti itu telah lama, dan itu tidak baik untuk kita semua.

No comments:

Post a Comment