Langsai hutang jika tak mahu kena sita

JITRA - Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP) mengesan kira-kira 15 penyewa gerai majlis masih gagal menjelaskan tunggakan setinggi RM13,000 iaitu melibatkan tempoh sehingga lima tahun.

Ketua Bahagian Penguat kuasa, Tunggakan Hasil dan Parkir MDKP, Zakariya Ahmad berkata, semua mereka yang dikesan gagal menjelaskan tunggakan antara RM1,000 hingga RM13,000 dalam tempoh 60 bulan.

Menurutnya, biarpun kebanyakan mereka terdiri daripada penyewa setia MDKP, namun pihaknya hanya akan berkompromi untuk sekali rayuan sahaja.

“Justeru semua penyewa gerai milik MDKP diingatkan supaya menjelaskan tunggakan masing-masing sebelum tindakan sita dilakukan sempena kempen tunggakan sifar yang akan bermula 15 Disember ini selama sebulan.

“Lebih 1,000 notis kempen akan diedarkan kepada semua penyewa supaya mereka membayar tunggakan itu sebelum tamat tempoh kempen yang akan berakhir 15 Januari tahun depan,” katanya.

Setakat penghujung November, sebanyak 400 gerai yang mempunyai tunggakan melebihi dua bulan disita MDKP.

Zakariya berkata, operasi sita akan diteruskan dari masa ke masa bagi mereka yang tetap ingkar dengan arahan notis yang diterima.

Menurutnya, jika masih ingkar dan melanggar syarat, MDKP tidak teragak-agak menarik balik sewa gerai itu selepas menyita gerai penyewa terbabit.

“Kita tidak boleh lagi berkompromi kepada mereka yang mempunyai tunggakan berulang selepas membuat rayuan kepada majlis,” katanya.

Difahamkan sewa gerai MDKP adalah serendah RM30 sehingga RM490 sebulan.

Setakat 30 November, MDKP hanya berjaya mengutip RM560 daripada RM700 tunggakan sewa gerai pada tahun ini.