Saturday, December 3, 2011

operasi bas Cityliner ditamatkan serta-merta berkuat kuasa semalam

3,000 penumpang terjejas


Norulsafikah Bokhari membaca notis laluan bas Cityliner yang dihentikan operasi di Stesen Bas Jalan Petri, Sungai Petani, Kedah, semalam.


SUNGAI PETANI 2 Dis. - Lebih 3,000 penumpang bas henti- henti ke 13 laluan yang kebanyakannya ke kawasan perumahan sekitar bandar ini terkejut apabila operasi bas itu ditamatkan serta-merta berkuat kuasa semalam.

Lebih memeranjatkan, syarikat bas Cityliner itu tidak memberikan sebarang notis terlebih dahulu sebaliknya hanya bertindak menampal kenyataan pada pejabat jualan tiket.

Tinjauan Utusan Malaysia di Stesen Bas Jalan Petri di sini mendapati petak-petak bas Cityliner kosong dan ramai penumpang menunggu tanpa mengetahui operasi bas berkenaan telah ditamatkan.

Antara laluan terlibat ialah dari Sungai Petani ke Gurun; Jeniang; Kuala Ketil; Taman Bandar Baharu; Taman Ria Jaya; Batu Lintang Tikam Batu; Pantai Merdeka; Taman Kelisa; Taman Keladi; UiTM Semeling; Taman Nilam; Taman Seri Gedong dan Baling.

Seorang suri rumah, Norulsafikah Bokhari, 21, dari Taman Ria, berkata, dia menunggu bas untuk ke pusat bandar sejak awal pagi tetapi tidak muncul seperti biasa.

"Memang saya tidak tahu ada masalah, sehinggalah saya ambil teksi datang tengok di stesen bas. Apabila sampai sini, kakitangan syarikat memaklumkan bas sudah tamat operasi tanpa sebarang alasan diberikan," katanya.

Norulsafikah berkata, ekoran masalah itu, dia terpaksa meminta bantuan kawan untuk mengambilnya semula di pusat bandar.

Seorang lagi penumpang, Wong Len Siw, 64, dari Taman Keladi berkata, dia bimbang kejadian tersebut akan menjejaskan rutin harian penduduk.

"Ramai pekerja kilang menggunakan bas ini pada waktu pagi dan petang. Para pelajar juga menggunakan perkhidmatan ini untuk ke sekolah. Jika terus tutup begini, penduduk kena cari kaedah lain termasuk menggunakan khidmat kereta sapu," katanya.

Bagi seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), Fatinazihah Yusoff, 21, dari Taman Bakar Arang, dia bimbang kejadian berkenaan akan menyebabkan kegiatan kereta sapu berleluasa.

"Sudahlah pemandu teksi mengenakan tambang tidak munasabah, sekarang ia pula membuka peluang kepada kereta sapu. Oleh itu, penduduk berharap masalah ini dapat diselesaikan memandangkan bas adalah satu-satunya perkhidmatan yang menawarkan harga berpatutan serta mampu digunakan penduduk," katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Konsortium Transnasional Berhad (KTB), Tengku Hasmadi Tengku Hashim berkata, operasi perkhidmatan bas berkenaan terpaksa ditamatkan ekoran syarikat kini menanggung kerugian dalam jumlah besar.

Beliau berkata, sehingga kini, kerugian RM400,000 telah dicatatkan untuk operasi bas henti-henti Cityliner di negeri Kedah.

Selain itu, katanya, syarikat juga terpaksa membelanjakan kos yang besar untuk membeli diesel.

"Kerajaan hanya memperuntukkan diesel subsidi sebanyak 1,400 liter sebulan sedangkan kita menggunakan minyak keseluruhan sebanyak 4,000 liter. Ini bermakna baki 2,600 liter lagi diesel terpaksa dibeli mengikut harga pasaran," jelasnya.

Tengku Hasmadi menambah, pihaknya telah menghantar surat kepada Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan kementerian serta agensi berkaitan untuk mengatasi masalah tersebut.

"Bagaimanapun, tiada maklum balas positif. Kita terpaksa menunggu hingga ada pihak yang sedia menawarkan penyelesaian," katanya.

No comments:

Post a Comment