Saturday, December 3, 2011

Perihal kaki botol dan kaki rasuah nak jadi calon YB

Oleh : ABD JALIL ALI

ABD JALIL ALI
DALAM pertemuan tertutup dengan lebih 5,000 perwakilan Umno dua hari lalu, Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan pesanan menggunakan bahasa yang sopan lagi penuh berhemah. Kata Presiden Umno, seperti yang dilaporkan The Star semalam.

“Saya masih menunggu wakil-wakil rakyat Umno yang sudah terlalu lama duduk di kerusi masing-masing supaya tampil ke hadapan secara suka rela dan memberitahu mereka hendak melepaskan jawatan.”

Beliau yang juga Perdana Menteri berharap mana-mana wakil rakyat parti itu yang tidak popular supaya berundur secara terhormat pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang semua orang jangka diadakan tidak lama lagi.

Sebagai bapa yang baik dan tidak mahu menyinggung perasaan, pesanan kepada anak-anak selalunya dibuat dengan bahasa beralas. Tetapi, sesetengah anak-anak, terutama yang keras kepala, tidak faham – atau buat-buat tidak faham – bahasa beralas.

Kalau hendak menggunakan bahasa kasar, kata-kata itu bererti lebih kurang: “Engkau ni nak menongkat langit ker? Duduk lama sangat, punggung pun dah kematu. Kan lebih baik engkau berhenti!”

Atau, kalau masih tidak faham, gunakan kata-kata lebih ‘brutal’: “Engkau ni tak malu ker? Orang dah muak tengok muka engkau. Engkau berhenti jer, habis cerita!”

Lepas perhimpunan agung Umno ini, kalau ada tanda-tanda bahasa sopan lagi beralas itu tidak difahami atau tidak dipedulikan, ada baiknya Najib bercakap terus terang. Ini soal kalah menang, jadi jangan terlalu menjaga perasaan. Pilihlah calon yang boleh menang, atau winnable candidate.

Tidak sahaja pada Umno, parti-parti lain yang hendak bertanding pada pilihan raya umum akan datang pun patut juga mencari calon yang boleh menang. Menang pada PRU12 tidak semestinya akan dipilih semula pada PRU13. Pengundi sudah boleh menilai, dan tidak lagi buta seperti dulu-dulu.

Tidak kira apa parti, bila masa sudah tiba eloklah berundur. Sesetengah wakil rakyat terlalu lama jadi YB atau YAB, usia pun sudah terlalu lanjut, kesihatan pun tidak berapa baik. Mereka patut berundur, walaupun mungkin boleh menang. Berilah peluang pada orang lain. Kalau mereka menongkat langit macam mana orang lain hendak dapat peluang?

Ada wakil rakyat yang bertukar kulit sebaik sahaja bergelar YB. Dulu pakai kereta biasa, kadang-kadang naik motor kapcai. Sekarang pakai kereta mewah. Bukan sebuah, tetapi tiga empat buah, malah ada yang 10 buah, berderet di kawasan rumah. Nombor plat pun hebat hebat.

Ada yang terpilih menjadi YB belum sampai sepenggal, tetapi sudah ada banglo besar dua tiga buah, kereta besar, keluarga dapat kontrak besar, anak buah tiba-tiba dapat tender besar. Bila semua sudah besar kepala pun jadi besar.

Orang tidak sekolah pun boleh nilai. Kalau baru sepenggal jadi wakil rakyat, mana boleh beli kereta besar dan banglo besar tiga empat buah. Orang boleh hujah, mana YB dapat duit untuk beli benda-benda mewah itu? Ada menyindir, “agaknya YB ada kilang cetak duit!” Tentu sekali orang jenis ini tidak sesuai jadi calon.

Jangan pilih jadi calon kalau sudah tahu seseorang itu kaki perempuan, kaki botol, kaki judi dan kaki-kaki busuk yang lain. Kalau sudah terbukti ada skandal dengan perempuan tidak kira anak dara, janda atau isteri orang, kenapa pilih jadi calon? Atau, macam mana hendak bela rakyat, kalau setiap hari mabuk?

Kalau diketahui seseorang itu terlibat rasuah, potong segera dari senarai calon. Orang rasuah akan cari jalan untuk songlap dan sakau duit rakyat. Orang macam ini boleh jual bangsa, boleh gadai agama. Kalau dipilih sebagai calon, dia akan memudaratkan parti. Buang terus.

Tidak sesuai juga menjadi calon sekiranya seseorang itu sombong, cakap besar, batuk dan ketawa macam dibuat-buat, derma sedikit minta masuk surat khabar. Ada orang genggam tangan untuk bersalam, tetapi mata pandang tempat lain. Ini pun tidak sesuai jadi calon PRU13. Pendek kata bukan mudah untuk mendapatkan winnable candidate, sebab pengundi sekarang bukan sahaja celik huruf tetapi juga celik ICT. Mereka tidak mahu terus ditipu!

No comments:

Post a Comment