Penjenayah Geng Kecik tumpas

KUALA LUMPUR - Usianya baru 15 tahun namun seorang remaja lelaki sudah licik mencari pendapatan dengan mencuri di unit-unit kondominium di sekitar Bukit Jalil dan Sri Petaling.
Suspek yang sudah tidak bersekolah bersama abangnya yang berusia 19 tahun dikatakan mengambil kesempatan dengan keadaan fizikal mereka yang kecil untuk menyelinap masuk ke kawasan kondominium yang menjadi sasaran.
Penglibatan dua beradik yang digelar Geng Kecik sejak enam bulan lalu terbongkar apabila si adik diberkas pada Selasa lalu selepas dia dan abangnya baru selesai memecah masuk ke sebuah unit kondominium di Sri Petaling di sini.
Sebelum suspek itu ditahan, seorang pemuda berusia 31 tahun yang sampai ke rumahnya pada pukul 10.30 pagi terkejut apabila mendapati rumahnya berselerak dan barangan miliknya turut hilang.
Dia yang ternampak dua remaja lelaki dalam keadaan mencurigakan berhampiran pagar kondominium segera meminta bantuan pengawal keselamatan, bagaimanapun hanya seorang dapat diberkas manakala suspek si abang sempat lari.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Khalid berkata, bersama suspek itu, polis menemui bersamanya pelbagai mata wang asing yang kesemuanya berjumlah RM6,000, 15 utas rantai emas, enam bentuk cincin, empat utas jam tangan, pemain MP3. Kesemua barangan itu disyaki dicuri di rumah lelaki berkenaan.
No comments:
Post a Comment