19 tahun guna air perigi

PONTIAN - Impian sebuah keluarga di Kampung Permatang Duku, Benut, dekat sini untuk menikmati bekalan air bersih akhirnya tercapai setelah kerja-kerja penyambungan paip dilakukan di kediaman mereka oleh Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dewan Undangan Negeri (Dun) Benut, baru-baru ini.

Sining Duluk, 55, berkata, dia bersyukur dan gembira apabila penantian untuk menikmati air bersih selama 19 tahun akhirnya tertunai dengan adanya bantuan tersebut.

Katanya, pendapatan tidak menen­­tu yang diperoleh dengan bekerja kam­pung membuatkannya tidak mampu membuat pemasangan paip di ru­­mahnya.

“Sejak anak sulung saya lahir sehingga kini sudah berusia 19 tahun, kami hanya menggunakan air perigi di belakang rumah dan air hujan yang ditadah.

“Berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu keluarga kami termasuk Syarikat Air Johor (SAJ) Daerah Pontian,” katanya ketika ditemui selepas majlis ringkas pemasangan bekalan air bersih oleh Ahli Dewan Un­dangan Negeri (Adun) Kawasan Benut, Datuk Ir Hasni Mohammad, di rumahnya, baru-baru ini.

Sementara itu. Adun Kawasan Benut, Datuk Ir Hasni Mohamad berkata, beliau berharap semua agensi, jabatan kerajaan dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat membantu golongan yang memerlukan termasuk dari segi kemudahan asas, kediaman dan sebagainya.

“Tumpuan juga perlu diberikan kepada anak-anak yang masih di bangku sekolah supaya mereka dapat menikmati kemudahan asas yang sempurna sekali gus dapat menumpukan kepada pelajaran sepenuhnya,” katanya.

Katanya, masalah yang menimpa keluarga Sining ini perlu dijadikan iktibar supaya tiada lagi golongan yang masih menggunakan air perigi pada masa kini.

Sehubungan itu, beliau berharap data maklumat setiap keluarga seumpama ini diambil untuk diberi perhatian.