Si kecil kendong karung najis
JITRA - Seorang kanak-kanak berumur setahun lapan bulan menanggung derita kerana terpaksa mengendong karung najis di perutnya setiap masa selain tidak dapat menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain seusia dengannya.

Muhammad Anas Miqhael Salehuddin mengalami masalah tidak mempunyai saluran pemakanan dan saluran najis, tanpa lubang dubur dan karung testis sejak dilahirkan pada 27 Ogos 2010.

Ibunya, suri rumah, Maizatul Shahida Jalil, 29, berkata, perkara itu diketahuinya sebaik melahirkan anaknya itu dan selang enam jam kemudian Muhammad Anas Miqhael sudah bertarung nyawa menjalani pembedahan.

“Pembedahan pertama itu dilakukan dengan menebuk perut bagi memasukkan saluran makanan bagi penyusuan melalui tiub getah selain mengeluarkan saluran najis.

“Sejak itu anak saya menyusu melalui tiub getah dan membuang air besar melalui saluran najis yang disalurkan kepada karung najis yang diletakkan di luar perut,” katanya.

Ketiga-tiga abang Muhammad Anas Miqhael masing-masing berusia tiga, empat dan enam tahun bagaimanapun normal seperti kanak-kanak lain.

Maizatul Shahida berkata, pada setiap masa anaknya juga bergantung kepada penggunaan mesin khas bagi menyedut air liur yang tersangkut pada kerongkong kerana dia tidak mempunyai saluran pemakanan terus ke perut.

Difahamkan, suaminya, Salehuddin Jaafar, 29, hanya bekerja sendiri iaitu menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan alat pendingin hawa dengan pendapatan tidak menentu sekitar RM1,000 hingga RM1,500 sebulan.

Maizatul Shahida berkata, walaupun Muhammad Anas Miqhael menerima bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun ia masih tidak mencukupi bagi menampung perbelanjaan termasuk susu, lampin pakai buang, karung najis dan makanan tambahan yang dianggarkan melebihi RM700 setiap bulan.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi keluarga ini menerusi talian 012-4057085.