Wednesday, April 18, 2012

Keputusan fatwa tidak boleh dipertikai


ALOR SETAR - “Fatwa yang diputuskan oleh mufti atau jawatankuasa fatwa, sama ada diwartakan atau tidak, tidak boleh dicabar, dirayu, disemak, dinafikan atau dipersoalkan dalam mana-mana Mahkamah Sivil atau Mahkamah Syariah”.

Itulah kata-kata Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Diraja Ustaz Azizan Abdul Razak ketika menjawab pertanyaan pemberita selepas Sidang Dewan Negeri Bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kedah Yang Kedua Belas di Wisma Darul Aman, di sini.

Beliau memberitahu, mengikut seksyen baru 22A, fatwa tidak boleh dicabar walaupun dengan undang-undang bertulis atau rukun undang-undang yang berlawanan.

“Fatwa mufti melibatkan ibadah dan hukum syarak, sekiranya berlaku kekeliruan perlu dirujuk kepada jawatankuasa fatwa,” ujarnya.

Menteri Besar berkata, institusi kehakiman dengan institusi mufti dua perkara yang berbeza kerana mufti lebih kepada jawatankuasa pelaksana, pandangannya diwartakan kecuali hal-hal remeh melibatkan kepentingan awam.

Tambahnya, Rang Undang-undang Mufti dan Fatwa (Kedah) (Pindaan) 2012 bertujuan untuk meminda Enakmen Mufti dan Fatwa (Kedah Darul Aman) 2008 (Enakmen 10), bagi memperjelas keahlian jawatankuasa fatwa serta menjadikan fatwa diputuskan oleh mufti atau jawatankuasa fatwa sebagai muktamad.

Pada Persidangan Dewan Negeri Bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kedah Yang Kedua Belas, Rang Undang-undang Tambahan Peruntukan Emolumen Bagi Tahun 2012 dipersetujui Ahli Dewan dengan perbelanjaan tambahan bagi 2012 tidak melebihi RM19 juta.

Peruntukan itu melibatkan pembayaran kepada kakitangan awam di 47 jabatan di negeri ini.

No comments:

Post a Comment