Kuin MB - siaran 4 april
KUALA KETIL - Sesi pengajian di kampus tetap Kolej Universiti Insaniah (Kuin) Kuala Ketil dijangka bermula pertengahan tahun depan setelah kerja pembangunannya kini mencecah lebih 60 peratus.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yakin ia mampu disiapkan menjelang Disember ini  berdasarkan kemajuan projek itu.

“Saya pantau dengan rapi projek itu supaya berjalan lancar. Malah kita sudah pun melangkaui jangkaan apabila kini projek itu siap lebih 60 peratus. Ini suatu perkembangan yang baik kerana ia adalah antara projek mega Kerajaan Negeri,” katanya, ketika meninjau tapak projek Sabtu lalu.

Hadir sama, Adun Kupang, Johari Abdullah dan Adun Kuala Ketil, Md Zuki Yusof.

Menurutnya, sebahagian besar bangunan sudah siap antaranya bangunan untuk program Usuluddin, Quran dan Sunnah termasuk dewan utama.

“Ada bangunan sudah dipasang siling, dicat dan dipasang alat penghawa dingin. Tetapi masih ada bangunan sedang dibina antaranya bangunan Canselori,” katanya.

Azizan yang juga Pengerusi Kuin berkata, difahamkan dewan utama Kuin Kuala Ketil merupakan dewan tertutup terbesar di utara tanah air kerana mampu memuatkan 5,500 orang termasuk sebuah panggung eksperimen dengan kapasiti 1,500 orang.


Kuin MB - siaran 4 april Menurutnya, perpindahan pelajar kelak akan diadakan secara berperingkat bergantung kepada jumlah unit rumah yang siap dibina sebagai asrama pelajar.

“Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Kedah, Bina Darulaman Berhad dipertanggungjawabkan untuk menyediakan asrama ini. Perpindahan pelajar dibuat mengikut bilangan rumah yang siap. Jika sudah siap 500 unit rumah, kita hantar 5,000 pelajar dahulu, bakinya perlu tunggu hingga rumah siap,” katanya.

Azizan berkata, Kuin kini antara pusat pengajian tinggi pilihan ramai apabila menawarkan 45 program berbanding ketika mula diperkenalkan 15 tahun lalu dengan hanya lapan program.

“Antara keunikan kita ialah menawarkan program berteraskan Islam dengan pengajian konvensional, bagi memenuhi tuntutan semasa. Malah Kuin mempunyai hubungan kerjasama yang amat baik dengan Universiti Al-Azhar,” katanya.

Menurutnya, Kuin juga menawarkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dalam sesuatu bidang dengan mempunyai 61 pensyarah antarabangsa dan 29 daripadanya adalah dari Universiti Al-Azhar.

“Paling membanggakan, bermula Mei ini Kuin menawarkan pengajian perubatan di kampus berasingan dengan 24 pensyarah berpengalaman,” katanya.

Pelajar Kuin kini mencecah 7,000 orang dan menyasarkan pengambilan sehingga 10,000 pelajar pada tahun depan.

Kampus induk Kuala Ketil dibangunkan atas tanah berkeluasan 800 ekar dengan 330 ekar didirikan bangunan manakala selebihnya di tanam kelapa sawit.