Saturday, April 7, 2012

Lagi Duit di tabur oleh PUSAT.. RM300 ribu di Kedah RM9juta di Johor

Kerajaan pusat sumbang RM300,000 untuk bina tempat bakar mayat Siam
7 April 2012
JITRA - Masyarakat keturunan Siam dalam Parlimen Kubang Pasu gembira kerana hasrat mereka mendapatkan tempat pembakaran mayat yang moden tercapai hasil bantuan kerajaan pusat melalui peruntukan sebanyak RM300,000.

Peruntukan itu diluluskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya pengurusan mayat dapat dikendalikan lebih baik berbanding cara tradisional yang digunakan lebih 100 tahun.

Anggota Parlimen Kubang Pasu Datuk Mohd Johari Baharum menyampaikan cek peruntukan itu, yang diberi atas nama Jawatankuasa Kubur Siam, supaya mereka dapat terus membina tempat pembakaran mayat.

"Saya menyampaikan permintaan mereka yang meminta peruntukan sebanyak RM500,000 terus kepada Perdana Menteri dan Perdana Menteri meluluskan RM300,000 tunai," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan cek itu di tapak perkuburan Siam Kampung Sungai Baru/Kota Giam di sini, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Huma, Cham Nat Iprat yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kubur Siam menerima cek berkenaan, disaksikan lebih 1,000 anggota masyarakat Siam.
Pada 10 Februari lepas, lebih 1,000 orang masyarakat keturunan Siam dari Kampung Sungai Baru, Kampung Huma dan Kota Giam menyampaikan hasrat mereka mendapatkan bantuan kerajaan bagi membina tempat pembakaran mayat yang moden kepada Mohd Johari.

Mohd Johari, yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, berkata keputusan Perdana Menteri meluluskan peruntukan itu menunjukkan beliau prihatin dengan masalah rakyat berbilang bangsa di negara ini.

Beliau turut memberi sumbangan sebanyak RM5,000 bagi menurap tempat parkir supaya pengunjung ke kubur merasa lebih selesa.

Cham Nat berkata pembinaan tempat pembakaran mayat di tapak perkuburan Kampung Baru/Kota Giam akan dilaksanakan secepat mungkin sebaik bahannya dibawa dari Thailand.

Beliau berkata tempat pembakaran mayat moden mengurangkan pelepasan asap sehingga 80 peratus berbanding cara tradisional.

Katanya masyarakat Siam amat menghargai sumbangan Kerajaan Persekutuan kerana usaha mereka selama 10 tahun untuk tujuan itu hanya mampu mengumpul wang sebanyak RM32,000 sahaja. - Bernama


PM peruntuk RM9 juta ganti pasar awam, borong
Wartawan Sinar Harian

PM peruntuk RM9 juta ganti pasar awam, borong
BATU PAHAT – Penduduk Batu Pahat bertuah kerana kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membawa sinar baru kepada mereka.

Sambil mengumumkan peruntukan RM9 juta, Najib berkata, dua premis tumpuan utama di bandar ini iaitu pasar awam dan pasar borong bakal dibina yang baru tidak lama lagi.

Menurutnya, disebabkan Batu Pahat adalah tempat di mana asalnya kerajaan dan negara, peruntukan berkenaan diberikan sebagai penghargaan kepada daerah ini dan juga warganya.

“Saya menghargai sokongan kuat penduduk Batu Pahat dan sebagai menghargainya, saya memperuntukkan RM3 juta untuk pasar borong dan RM6 juta untuk Pasar Awam Batu Pahat.

“Selain itu, saya juga bersetuju memperuntukkan jumlah khas yang akan saya bincangkan dengan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman untuk membaiki serta menyelenggarakan sistem perparitan di Batu Pahat.

“Saya percaya rakyat di Batu Pahat ini sudah lama menantikan pasar baru dan pembinaannya akan dilakukan dalam masa terdekat ini,” katanya ketika majlis Karnival Jelajah Janji Ditepati (KJJD), semalam.

Karnival yang berjaya menghimpunkan 50,000 penduduk ini turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek; Ahli Parlimen Batu Pahat, Dr Mohd Puad Zarkashi dan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad.

No comments:

Post a Comment