Wednesday, April 4, 2012

PTPTN dan RIBA......

Bebas rakyat daripada riba PTPTN
Wartawan Sinar Harian
4 April 2012
KUALA TERENGGANU – Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu (DPPNT), Mohd Nor Hamzah menyelar sikap kerajaan yang masih tidak membebaskan rakyat daripada pinja­man Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dianggap mengandungi riba.

Beliau berkata, kerajaan sepatutnya memberikan pendidikan percuma kepada rakyat dengan kemampuan yang ada untuk memastikan mereka tidak terlibat dengan sebarang aktiviti riba. 

“PTPTN ada unsur riba yang sepatutnya diperangi oleh umat Islam dan kerajaan juga sepatutnya membebaskan rakyat daripada amalan tersebut, bukan menekan mereka melalui pinja­man­ itu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyokong tindakan Pakatan Rakyat (PR) yang bertegas untuk menghapuskan PTPTN dan menukarnya kepada skim biasiswa yang lebih mesra rakyat jika diberi mandat mentadbir negara.

Dalam laporan Sinar Harian 2 April lalu, Ahli Parlimen Balik Pulau dari PKR, Yusmadi Yusoff berkata, apa yang dilakukan PR bukanlah menghapuskan terus skim seperti PTPTN kerana menyedari anak golongan miskin masih memerlukan perbelanjaan untuk ke menara gading.

Menurutnya, PR akan merombak PTPTN jika berjaya merampas Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 kerana berpendapat pelajaran percuma untuk rakyat adalah keutamaan negara.

Sementara itu, Mohd Nor turut mendakwa pinjaman PTPTN sebagai alat Barisan Nasional (BN) untuk menekan dan menindas mahasiswa.

Beliau menjelaskan, pelajar yang membuat pinjaman pendidikan melalui PTPTN berasa terikat dan bimbang untuk menegur kesilapan kerajaan. 

“Kerajaan menggunakan uslub ugut dan ancam supaya mahasiswa tidak aktif dalam memperbetul dan memperbaiki segala penyelewengan semasa menuntut atau selepas bergelar mahasiswa,” katanya.

Mengulas respon di kalangan anak-anak muda berhubung perkara itu, beliau mengakui mendapat reaksi yang baik daripada ramai pihak yang menyokong pinjaman PTPTN dimansuhkan.

No comments:

Post a Comment