Friday, April 6, 2012

Pusat Konvensyen baru akan dibina

ALOR SETAR, 4 April 2012 – Kerajaan negeri akan mendirikan Pusat Konvensyen di tapak Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) berhadapan Wisma Darul Aman.

Demikian maklum Menteri Besar, YAB Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak kepada wartawan ketika sidang media selepas mesyuarat EXCO di Wisma Darul Aman.

“Kita menghadapi masalah tempat. Sekarang kita cuma ada Dewan Wawasan dan Wisma Darul Aman. Kita harap dengan adanya Pusat Konvensyen ini masalah tersebut boleh diatasi.

“Anggaran kos kita serahkan kepada UPEN untuk membuat kajian bersama Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Alor Setar,” jelasnya.

Beliau juga mengumumkan kerajaan negeri akan membangunkan daerah Kulim Bandar Baharu yang didapati agak terkebelakang jika dibandingkan dengan daerah lain walau pun ianya bersempadan dengan Daerah Seberang Perai Selatan yang terkenal dengan kepesatan pembangunannya serta utara Perak.


“Tapak untuk mendirikan institusi dan pusat-pusat perniagaan telah dikenal pasti dan UPEN diminta membuat kajian terperinci mengenainya.

“Kita juga berharap sebuah hospital yang lengkap akan segera didirikan di daerah berkenaan, memandangkan penduduk-penduduk di situ terpaksa mendapatkan khidmat kesihatan di Hospital Parit Buntar dan Selama,” tambahnya.

Apabila ditanya mengenai status ADUN Kuala Nerang, YB Dato’ Syed Sobri Syed Hashim, beliau berkata, ianya diserahkan kepada Setiausaha Majlis Kerajaan Negeri untuk menghubungi Insolvensi untuk memastikan status beliau sebagai wakil rakyat berikutan beliau telah diisytiharkan muflis.

“Beliau datang berjumpa dan menceritakan masalahnya kepada saya. Walau bagaimana pun beliau mengambil keputusan tidak akan hadir pada Sidang Dun akan datang untuk mengelakkan sebarang permasalahan,” kata beliau.

Berikutan itu juga, Azizan memaklumkan Sidang Dun akan datang akan bersidang selama dua hari dari 17 April sehingga 18 April 2012.

No comments:

Post a Comment