Tengku Abdullah simpati nasib Annuar
![]() |
IMBAS KEMBALI... Tengku Abdullah (kiri) dan Annuar ketika sidang media mesyuarat Exco FAM di Wima FAM pada 2 Januari 2011. |
TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan rasa simpati baginda kepada Tan Sri Annuar Musa yang dikenakan hukuman penggantungan dua tahun enam bulan daripada melibatkan sebarang aktiviti bola sepak di peringkat nasional dan negeri.
Rabu lalu, Jawatankuasa Tatatertib FAM yang dipengerusikan oleh Datuk Taufik Abdul Razak memutuskan bahawa Annuar yang juga Timbalan Presiden FAM bersalah membuat kenyataan kepada pihak media dengan mengkritik skuad kebangsaan pada 12 Februari lalu.
Menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan kepada pihak media semalam, Tengku Abdullah menyatakan kekesalan baginda dengan apa yang telah berlaku.
"Saya bersimpati dengan Tan Sri Annuar dan saya pasti bahawa kenyataannya dibuat mengikut perasaan terhadap situasi tersebut, satu keadaan yang kami semua pernah alami.
"Minat yang amat mendalam dalam bidang bola sepak boleh menyebabkan seseorang bertindak sedemikian. Mungkin ini adalah masa bagi kami untuk menyemak semula apa yang mungkin tidak lagi penting bagi masa depan pembangunan bola sepak.
"Begitupun, saya pasti Jawatankuasa Tatatertib telah menjalankan penyiasatan yang lengkap terhadap tuduhan-tuduhan yang dikenakan (ke atas Annuar) dan mengenakan tindakan disiplin yang sesuai dengan cara yang telus dan mengikut undang-undang FAM.
"Saya sesungguhnya mempercayai bahawa proses undang-undang yang sewajarnya telah dipatuhi," jelasnya.
Tengku Abdullah menambah, kenyataan yang dibuat baginda pada 4 Februari lalu tidak sepatutnya diinterpretasikan sebagai satu arahan.
"Memandangkan saya berada di luar negara semasa peristiwa ini (kes penggantungan Annuar) berlaku, saya tidak mempunyai pengetahuan terperinci mengenai kejadian tersebut atau mengenai pendengaran yang diadakan pada 4 April 2012.
"Kenyataan yang dibuat oleh saya pada 4 Februari 2012 tidak sepatutnya diinterpretasikan sebagai satu arahan tetapi hanya semata-mata sebagai satu nasihat kepada semua pegawai-pegawai di FAM .
"Maka kita mesti mempunyai sikap memandang jauh dan menumpukan perhatian ke atas apa yang sebenarnya penting kemajuan bola sepak Malaysia.
"Perhatian semestinya ditumpukan ke atas bola sepak semata-mata dan bukan perkara remeh-temeh," ujar Tengku Abdullah.
Tengku Abdullah turut menyatakan kesediaan baginda untuk menjadi pengantara bagi menamatkan isu hukuman yang dikenakan ke atas Annuar.
"Kita mesti akui dan menghargai sumbangan-sumbangan dan usaha-usaha yang diberikan oleh Tan Sri Annuar untuk membangunkan sukan bola sepak di Malaysia khususnya bola sepak di Kelantan.
"Kita juga perlu mengkaji adakah keputusan ini akan merosakkan kerja-kerja baik yang dilakukan oleh Tan Sri Annuar demi membangunkan bola sepak di Kelantan dan adakah Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan mengalami kesan buruk daripadanya.
"Adalah menjadi harapan saya bahawa kita boleh memberi tumpuan kepada faktor-faktor mitigasi yang wujud dan menyelesaikan perkara ini secara damai demi kebaikan bola sepak Malaysia," kata baginda.
No comments:
Post a Comment