Monday, May 14, 2012

Berhentilah mengutuk keganasan Zionis

Kabus yang menutup wajah kelas tertindas semakin menghilang apabila cahaya mentari BERSIH berwarna kekuning-kuningan menjelma.  Jurang yang merenggangkan hubungan antara kaum yang dibina oleh British dan UMNO lebih 70 tahun lalu tebingnya kini kian rebak.  Prasangka buruk antara kaum yang ditanam penjajah dan kelas feudal UMNO supaya mereka dapat terus berkuasa telah berubah menjadi jambatan.  Anak semua bangsa - Melayu, Tionghua dan India telah bersatu dengan semangat yang satu di dalam BERSIH siri ke 3 - menuntut pilihan raya yang adil dan bersih.

Mereka adalah Angkatan Pemuda Insaf yang sedar tentang tanggungjawab untuk membina masa depan bersama yang lebih bermakna.  Mereka telah sama-sama menyaksikan pesta keganasan zionis sebenar pada petang Sabtu 28 April yang lalu.  Regim ini sudah terlanjur jauh dan tidak mungkin lagi untuk balik ke pangkal jalan.  Berhentilah mengutuk keganasan Zionis di Gaza kerana pesta keganasan yang sama telah bergentayangan di depan mata semua malah Zionis di Gaza lebih berhemah terhadap wartawan dan media.  Yang penting kita harus bertanya ke mana UMNO sedang membawa kita semua?  Ke syurga atau neraka?

Petang itu sama-sama telah bermandi gas dari senjata kimia.  Sama-sama rebah dan bangun mencari tempat berlindung.  Membantu dan memapah antara satu sama lain tanpa mengira kaum.  Senjata kimia ini adalah percikan dialektika hukum sejarah.  Pertentangan yang baik dengan yang jahat acapkali akan melahirkan sinar cahaya kehidupan yang lebih baik.

POLIS MEMPERTAHAN DATARAN - BUKAN RAKYAT

Apabila rakyat telah memandang jijik kepada anggota polis yang sebelumnya disandarkan harapan sebagai tempat mereka mendapat perlindungan keselamatan bermakna pemerintah juga telah tercabut akarnya dari ikatan massa rakyatnya.  Polis telah berjuang mempertahankan dataran dan bukan lagi rakyat.  Keganasan polis dalam BERSIH 3.0 sebenarnya suatu yang akan mempercepatkan kejatuhan kuasa Kelas Bangsawan.  Orang hanya akan menjadi ganas apabila otaknya sudah tidak boleh berfikir.

Menjadi ganas kerana terlalu takut atau "fear aggression" biasa terjadi kepada kumpulan haiwan.  Daripada tingkah laku yang terjadi di depan mata terlintas soalan di kepala apakah anggota polis kita adalah terdiri daripada anak-anak muda kita yang tercicir di bangku sekolah.  Adakah mereka ini bekas kumpulan pelajar bermasalah disiplin di sekolah yang pernah jadi samseng, kaki pukul dan peras ugut sebelum mereka diambil berkhidmat sebagai anggota polis.  Apakah mereka tidak dilatih dengan baik dan profesional supaya mereka menjadi orang yang boleh dihormati oleh masyarakat.  Gelagat mereka pada petang BERSIH 3.0 sangat jelek dan buruk - seakan berdendam dan menunggu masa untuk membalasnya.  Bagaimana institusi ini boleh dihormati sekiranya rakyat terus melemparkan pandangan yang jijik terhadapnya.

MENUTUP BANGKAI GAJAH

Kejadian yang terjadi petang sabtu itu sangat jelek dan keji. Ia seperti bangkai gajah yang berbau pekung - tidak dapat ditutup dengan sehelai dua kertas surat khabar dan berita TV arus terdesak.  Bau pekung bangkai gajah ini akan terus merebak melalui media baru tweeter dan facebook di mana wartawannya adalah anak-anak muda itu sendiri.  Di dalam media baru ini telah terakam kedurjanaan petang itu.  Pemuda-pemuda yang lemah dan tidak melawan disepak seperti bola oleh 10 hingga 15 orang anggota polis.  Terakam juga wanita yang disepak dan terajang.  Bagaimana pula orang tua yang lemah tidak berdaya turut dibelasah di warong mamak ketika mereka sedang santai kerana sudah lama bersurai.

YANG BAIK AKAN MEWARISI BUMI

Tuhan bukan saja telah memberi kita mata malah kamera yang boleh merakamkan peristiwa yang boleh menjadi sejarah.  Inilah percikan dialektika yang telah menjadi hukum perkembangan sejarah yang berfungsi menghidupkan atau memusnahkan.  Pertembungan yang baik dengan yang jahat adalah hukum perkembangan sejarah masyarakat manusia.  Lazimnya kebaikan (cahaya) akan mengatasi kejahatan (kegelapan) dan kebenaran mengatasi kepalsuan.

Dari pertembungan yang bersifat dialektis ini akan lahir sinar baru serta pemimpin yang lebih baik untuk membela yang lemah dan menegakkan keadilan.

al-Quran menggambarkan hasilnya menerusi surah al-Qasas ayat: 5

"Dan Kami hendak memberikan kurnia kepada orang-orang yang tertindas di bumi dan hendak menjadikan mereka pemimpin, serta jadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi)"
.

Kepada pemimpin itu pula Allah berpesan:

"Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar menegakkan keadilan". Surah An-Nisa : 135.

PILIHANRAYA ADIL TUNJANG DEMOKRASI


Tuntutan lapan perkara dalam ketiga-tiga perhimpunan BERSIH semata-mata menuntut suatu pilihanraya yang adil dan bersih.  Kini BERSIH seakan telah menjadi hantu jembalang.  Rakyat di kampung kampung atau di Felda tidak perlu tahu tentang jembalang ini.  Kerana terlalu takut akan hantu jembalang ini maka ulama' carma (rujuk surah yasin ayat 21) majlis fatwa juga telah dikerah agar rakyat menjauhi jembalang ini.

BERSIH 3.0 telah berjaya menghimpunkan lebih 300,000 peserta yang datang dengan susah payah sendiri dari seluruh pelusuk negara.  Ramai juga yang terkandas kerana bas yang mereka tempah telah diugut oleh pihak berkuasa untuk membatalkan permitnya.  Ada yang berjalan kaki sejauh 20 kilometer kerana sekatan jalan raya yang menghalang.  Pun begitu semua wajah tetap ceria sambil mereka bercerita tentang susah payah untuk sampai ke situ.  Ramai juga cerdik pandai dan professional telah turut serta.  Adakah mereka ini semuanya buta dan telah menjadi kerbau-kerbau tenggala yang boleh dicucuk hidungnya?  Mereka tidak datang kerana Anwar atau Nik Aziz tetapi kerana ingin menyampaikan tuntutan pilihan raya yang bersih dan adil kerana Pilihan raya yang adil dan bersih adalah tunjang negara demokrasi.

BERSIH 3.0 telah menghimpun anak-anak muda Melayu, Tiong Hua dan India yang selama ini dididik supaya berpersangka antara satu dengan lain oleh UMNO dan sekutunya kerana inilah modal untuk terus berkuasa.  Namun pada petang itu mereka bersama-sama duduk bersila berkongsi pengalaman dan cerita.  Masing-masing ceria dan bersemangat.  Dalam keadaan bersesak-sesak inilah tiba-tiba mereka dihujani peluru senjata kimia.  Ramai yang rebah kerana sesak nafas.  Ibu-ibu tua yang lemah dan dipapah telah meraung-raung meratap sambil menyebut nama Allah.  Di saat ini secara sepontan mereka saling membantu tanpa mengira bangsa.  Ada yang menghulur tuala, air dan garam untuk membantu mangsa yang parah sambil memapah mencari tempat perlindungan di celah-celah bangunan.  Keganasan yang berlaku sebenarnya adalah suatu yang sudah dirancang secara sistematik agar rakyat terus menjadi takut.

Hanya yang mengalami peristiwa ini dapat merasa peritnya gas kimia ini.  Penderitaan yang mereka lalui bersama sebenarnya suatu rahmat.  Di sini telah terjalin rasa kepercayaan yang luhur hubungan antara kaum yang tidak pernah terasa sebelum ini.  Mereka juga semakin sedar siapakah musuh mereka yang sebenarnya dan apa yang patut dilakukan - menangani cabaran beralih dari politik ugutan kepada politik harapan.

*Tongkat Bahaman ialah seorang penulis blog.

No comments:

Post a Comment