Friday, May 11, 2012

PAS minta terima kajian secara positif

KUALA LUMPUR: PAS meminta semua organisasi di bawahnya menerima sebarang kajian yang dibuat oleh pelbagai pihak secara yang positif.

Naib Presidennya, Salahudin Ayub (gambar) berkata, walaupun kajian itu tidak memihak kepada PAS, ia hendaklah diterima dengan positif.

"Mari kita jadikan kajian ini sebagai maklumat kepada kita untuk memperkukuhkan jentera kita bagi memastikan kita benar-benar berjaya dalam pilihan raya umum akan datang.

"Mungkin kajian mereka kurang tepat tetapi boleh jadi ianya benar. Jadi kita terimalah sebagai maklumat dan kita bertindak berdasarkan maklumat itu untuk benar-benar memenangkan kita," katanya ketika menghubungi Harakahdaily.

Salahudin tidak berapa senang dengan tindakan beberapa sikap dan kenyataan pemimpin PAS yang bersikap mempertikaikan sebarang kajian yang dibuat oleh pihak lain seolah-olah PAS sentiasa betul.
Dua hari lepas, Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) menyebarkan hasil kajian terbaru mereka terhadap persepsi rakyat terhadap pilihan raya umum ke 13 nanti.

Dalam kajian UMCEDEL itu, mereka menyatakan, BN mendahului sokongan rakyat negara ini dalam pilihan raya umum akan datang.

Namun, kajian mereka menunjukkan Pakatan akan terus menang di Kelantan, Selangor dan Kedah.

Kajian mereka turut mendapati Negeri Sembilan dan Perak akan kekal di tangan Barisan Nasional.

Ekoran itu, beberapa pemimpin PAS di kedua-dua negeri itu tidak bersetuju dengan kajian itu berdasarkan maklumat yang mereka perolehi di peringkar akar umbi mereka.

Bagi Salahudin, biarlah PAS kalah melalui kajian sekarang tetapi dalam pilihan raya umum nanti PAS bersama Pakatan Rakyat menang.

Beliau juga bimbang kalau-kalau sesetengah pimpinan PAS merasa syok sendiri dengan sokongan yang ada dan tidak bekerja kuat untuk memastikan PAS benar-benar mnenang dalam pilihan raya umum nanti.
BERITA BERKAITAN

PAS NS mahu UMCEDEL kaji semula perolehannya
Kajian BN menang di Perak: PAS ambil sikap positif

No comments:

Post a Comment