Thursday, June 14, 2012

ISA dah mansuh, tapi jangan lupa mangsa di Kamunting ...

Oleh NORLAILA OTHMAN

"ANAK saya Amirul Danial, selalu tanya bila abah dia nak balik rumah," kata Niza, isteri kepada tahanan ISA, Mustawan Ahbab yang ditahan tanpa bicara di Kem Kamunting, Taiping, Perak. Mustawan telah ditahan di rumahnya di Ampang pada bulan Ogos 2010.

"Belanja dari Kuala Lumpur ke Taiping boleh tahak gak mahalnya. Ada ketikanya Pak Cik dan Mak Cik naik kereta api dari Sungai Buloh sampai Ipoh, kemudian naik bas dari sana keKamunting, demi menziarahi anak, kami sanggup lakukan apa saja." Sayu kedengaran keluhan ibu dan bapa tahanan ISA, Fadhlullah yang ditahan pada bulan Julai 2010.

"Suami ditahan ISA pada 2006 dengan gelaran "Ahli Darul Islam" setelah dibebaskan, pada November 2011 ditahan lagi sekali dan dituduh "Ahli JI" pula," ujar N, ibu kepada lima anak yang berusia antara 6 bulan hingga 11 tahun.

Kenyataan keluarga tahanan itu membuktikan ISA masih lagi aktif digunakan. Di sebalik seruan konsisten gabungan NGO yang diterajui Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), ISA masih tetap rakus menambah mengsanya!

Rasa resah gelisah mangsa ISA disampaikan GMI kepada Menteri Dalam Negeri, namun KDN tetap membisu dan tidak pernah memberitahu jumlah tahanan ISA di Kamunting. Ada suatu ketika, dikatakan ada 30 orang yang masih di tahan, dan jumlah itu boleh berubah serta berkurang dengan mendadak.

Pelik bin Ajaib! Masih sukar dipercayai, pada 15 Sept 2011, PM Najib berjanji memansuhkan ISA. Ramai bersorak gembira dan sujud syukur. Namun, tidak kurang yang bertanya: "Betul ke? Is it true? Biar betul PM ni? Berani dia nak buang tongkat sakti Umno?"

Ada menyangka PM benar-benar insaf dan tidak mahu lagi menggunakan akta zalim ini. Disebabkan pengumuman ISA Mansuh, populariti PM naik mendadak! Masakan tidak? Najiblah satu-satunya PM yang berani mengumumkan pemansuhan akta yang dicipta khas Umno sejak 1960.

Masa sama, ramai pejuang keadilan dan hak asasi mula agak leka. Semua asyik menunggu janji manis PM dan tidak sabar melihat semua tahanan ISA dibebaskan.

Lebih 100 hari pengumuman dibuat, terbukti masih ada lagi tangkapan terbaru ISA. Antaranya pelajar dari luar negara dan pegawai kastam. ISA masih mengganas!


Amat malang mangsa ISA. Biasanya daripada hari pertama ditahan, mental dan spiritualnya adalah perkara utama yang menjadi sasaran polis atau pegawai penyiasat (IO) yang menangkapnya. Tiada peguam mahu pun jaminan daripada teman atau ahli keluarga ... jauh sekali proses mahkamah.

Tiada siapa tahu di mana tahanan ditempatkan. Tahanan ISA berada dalam kurungan polis di tempat yang dirahsiakan.

Bermula hari pertama hingga hari seterusnya, tahanan tidak tahu apa yang bakal dilakukan polis. Tahanan hanya ingin BEBAS dan kembali ke pangkuan keluarga. Perasaan terlalu ingan BEBAS itulah yang dijadikan modal utama kakitangan KDN seperti Polis Cawangan Khas (SB) dan IO untuk melumpuh dan merosakkan minda serta semangat tahanan.

Kehidupan tahanan yang dipisahkan daripada dunia luar menambahkan lagi penderaan spiritual itu. Hanya SB sentiasa bersama mereka. Polis yang menentukan mereka akan menjalani kehidupan harian dengan baik atau sebaliknya.

"ISA dimansuhkan, tapi tahanan masih belum bebas," keluh Zaitun, kakak tahanan ISA berasal dari Tawau.

Setelah didesak rakyat, kerajaan terpaksa mengeluarkan akta baru menggantikan ISA yang sepatutnya sudah mansuh. Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 diluluskan Parlimen, April 2012. Akta yang dikatakan Menteri Dalam Negeri sebagai "lebih baik" daripada ISA itu bakal berkuat kuasa mulai Julai ini.


Bagi pihak keluarga tahanan, akta baru itu bukanlah menjadi tajuk penting yang perlu dibincangkan. Persoalan utama, ISA sudah tiada, sudah ditutup, sudah dimansuhkan. Namun, kenapa semua tahanan masih belum dibebaskan?

Saya yakin, setiap hari tahanan bermimpi untuk dibebaskan dalam waktu terdekat kerana akta yang diguna pakai untuk menahan mereka telah tiada.

"Suami saya dah dibawa ke KL hampir sebulan, polis kata dia akan dibebaskan setelah menjalani proses pemulihan." Amat gembira kedengaran suara Niza ketika kami berbual melalui telefon. Walaupun Mustawan, suaminya pernah beberapa kali memberitahu "beliau akan di bebaskan pada tahun 2012", pembebasan yang diimpikan itu tidak pernah terjadi. Tapi Niza tetap menaruh harapan suaminya akan dibebaskan segera.

Perasaan dan harapan Niza itu dikongsi hampir semua keluarga tahanan. Walaupun sudah diberitahu kata-kata polis SB tidak boleh dipercayai, keluarga tahanan terlalu sukar untuk mengawal perasaan rindu yang mendalam terhadap ahli keluarga yang didera di Kem Kamunting.


Ditahan melalui Seksyen 73 selama 60 hari dalam jagaan polis sudah di lalui. Walaupun tidak pernah merasai proses mahkamah seperti jaminan, perbicaraan, pembelaan peguam dan keputusan hakim, tahanan ISA rela menjalani hukuman Seksyen 8 ISA, yang memaksa mereka tinggal di Kem Kamunting selama dua tahun ... juga hampir selesai d lakukan. Segala arahan dan peraturan diikuti dengan baik, taat dan jujur.


Tiada tahanan mengamuk mahukan peguam atau Suhakam datang melawat mereka di sana. Tiada tahanan memberontak jika setiap kali bertemu keluarga mereka akan diraba dan diperiksa rapi. Tiada seorang pun tahanan yang mempersoalkan kenapa mereka dikurung tanpa hak membela diri.

Semua berjalan baik. Semua tahanan ISA percaya, jika mahu dibebaskan segera, mereka semua mesti berakhlak mulia dan mematuhi semua syarat.

Apabila PM Najib Razak mengumumkan ISA mansuh, semua tahanan mendongak ke langit mengucap syukur, dengan penuh harapan nasib mereka akan berubah dan segera dikeluarkan dari kawasan pagar berduri itu. Namun, sejak 15 September 2011 hingga 2012, janji tinggal janji!

Apa sebenarnya tujuan kerajaan terus membenamkan mereka di amunting? Apa untungnya terus mengekalkan tahanan sedangkan ISA telah mansuh? Tidakkah kerajaan rasa malu apabila rakyat tahu ISA telah mansuh,tetapi masih ada yang ditahan di bawah ISA.

Di manakah kebaikan pelan transformasi PM jika ISA yang diumumkan mansuh, rupanya masih lagi digunakan.

Mari kita lihat kes yang terjadi pada tahanan Fadhlullah Abd Razak, yang ditahan pada Julai 2010. September 2010, beliau dihantar ke Kamunting.


Najib berjanji mansuhkan ISA pada 15 September 2011. Akta baru menggantikan ISA , Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) diwartakan di Parlimen pada April 2012.

Sepatutnya, Fadhlullah sudah dibebaskan sehari selepas pengumuman ISA mansuh ataupun apabila akta baru diwujudkan. Bagaimanapun dalam akta baru itu ada Seksyen 32 yang menyatakan "walaupun ISA mansuh, semua tahanan tiada kesan dengan pemansuhan tersebut."

Maknanya, semua tahanan ISA tidak akan dibebaskan dalam waktu terdekat kerana asih tertakluk dengan peraturan di bawah ISA, iaitu menghabiskan tempoh dua tahun yang ditetapkan Menteri Dalam Negeri.

Nampaknya Fadhlullah dan semua tahanan ISA lain hanya akan dibebaskan jika menteri percaya mereka tidak lagi menganggu keselamatan negara.Tetapi, jika menteri merasakan mereka masih menjadi ancaman, maka penahanan akan disambung dua tahun lagi.

Apakah yang dapat dilakukan tahanan untuk memberitahu dunia luar bahawa mereka masih lagi didera ISA? Apakah pilihan yang mereka ada untuk membebaskan diri daripada undang-undang zalim itu?

Mogok lapar sejak 12 Mei dimulakan beberapa tahanan ISA dari Sri Lanka yang sudah tidak sanggup lagi dibohongi polis, SB dan KDN. Mereka mendakwa telah berkelakuan baik selama dua tahun tetapi apabila tiba tarikh bebas, menteri membaharui penahanan dua tahun berikutnya.

Beberapa hari kemudian, berita mogok lapar merebak ke seluruh blok kediaman tahanan. Lebih ramai menyertai protes atau mogok lapar. Tahanan juga minta berjumpa dengan Suhakam dan peguam. Ketibaan wakil Suhakam pada Jumaat 18 Mei 2012 memang amat dinantikan tahanan.

Mereka bersetuju berhenti mogok lapar pada 18 Mei dengan memberi dua tuntutan utama kepada KDN: Hantar tahanan ISA warga asing pulang ke negara asal, serta bebaskan rakyat tempatan.


James Nayagam, mewakili Suhakam, bertemu tahanan dan mengambil sedikit masa berbual dan mendengar keluhan mereka. Beliau bersetuju bertemu KDN menyampaikan permintaan serta tuntutan semua 45 tahanan.


Mogok lapar yang dimulakan 12 Mei dan dihentikan 18 Mei itu sekurang-kurannya berjaya mencuri sedikit tumpuan masyarakat yang sedang panas dengan pelbagai isu menjelang PRU13.


Susulan kenyataan wakil Suhakam dan beberapa tahanan ISA, KDN memberi sedikit maklum balas mengenai perkara tersebut.

"Melakukan mogok lapar atau tidak adalah keputusan mereka. Pada akhirnya kita akan patuhi undang-undang dan tidak ada perubahan," kata Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein.

"Anda perlu lalui proses biasa. Undang-undang baru (menggantikan ISA) perlu diwartakan, dan undang-undang baru itu juga menyatakan bahawa mereka yang didakwa sebelum ini tidak terjejas. Jadi saya fikir ini satu helah orang hendak mengalih perhatian atau merosakkan program transformasi PM," tambahnya ketika diminta mengulas mogok lapar tersebut.

"Apabila Fadlullah telefon suruh datang Taiping kerana ada hal penting nak bincang, kami memang rasa nak terbang ke Taiping masa itu juga," kenang Khadeejah dalam raut wajah serius.

"Dia nak ikut beberapa tahanan ISA yang lain buat mogok lapar. Mak Cik dan suami akan sentiasa sokong apa saja tindakan Fadhlullah untuk membebaskan dirinya. Kami tahu, mogok lapar ini berkemungkinan menjejaskan kesihatannya, tapi kami sekali-kali tidak akan menahan, jauh sekali memujuknya supaya tidak meneruskan niat itu jika itulah satu-satunya cara dia boleh keluar dari penjara Kamunting.” Begitu teguh keyakinan ibu tua itu.

"Mak Cik naik komuter dari Sungai Buloh, sampai di Ipoh nanti anak ambil dan bawa ke rumah dia di Kuala Kangsar. Tidur rumah dia (anak ketiga) satu malam esoknya barulah pergi ke Taiping jumpa Fadlullah." Tenang saja Khadeejah yang mesra dipanggil Kak Jah bercakap mengenai perancangannya ke Kamunting. Saya hanya mampu menganggukkan kepala tanda bersetuju.


Sesungguhnya Fadhlullah yang dikurung hampir dua tahun di Kem Kamunting, amat bertuah kerana mempunyai sepasang ayah dan ibu amat memahami situasinya. Mungkin mereka berdua sudah boleh dikira sebagai warga emas, namun mempunyai pemikiran moden dan kuat semangat.


"Mak Cik dan suami akan berbuat apa saja asalkan Fadhlullah berjaya di bebaskan," kata beliau yang mengadu Fadhlullah diletakkan di sebuah blok berasingan daripada tahanan lain apabila diketahui menyokong dan menyertai mogok lapar tersebut.

No comments:

Post a Comment