Sunday, July 8, 2012

"Kalau gaji staf KUIN dipotong, kena tanya Bendahari bukan Rektor..."

Ahad, 08 Julai 2012 13:04 | Ditulis oleh SARINA ISMAIL | PDF | Cetak | E-mail

ALOR SETAR – “Bila nak dekat piliharaya, macam-macam kita dengar. Macam orang berpuasa pergi beli makanan, semuanya dia nak beli, tapi bila buka puasa lepas minum air nyior segelas, tersandar sampai tinggal sembahyang,” sindir Menteri Besar, YAB Dato’Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak menjawab soalan pemberita semasa sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman.

“Sejak saya jadi pengerusi KUIN, macam-macam masalah yang timbul, tak habis-habis. Tapi hasil yang kita tengok, KUIN semakin popular. Seluruh Malaysia sekarang kalau datang Kedah, mesti nak melawat KUIN,” kata beliau.

Susulan pertanyaan dari pemberita berkenaan kemelut KUIN yang mengakibatkan berlakunya demontransi mendesak Rektor, Profesor Datuk Dr Jamil Osman meletakkan jawatan, beliau menegaskan, beliau sendiri yang membawa Rektor berkenaan ke KUIN.

“Keputusan untuk melucut jawatan atau sebagainya bukan di tangan saya. Setakat ini Lembaga Pengarah berpuas hati dengan prestasi beliau dan tidak berhasrat tamatkan kontrak beliau.

“Lagi pun saya sendiri yang membawa beliau ke KUIN. Semasa itu beliau berkhidmat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, tegas beliau.

Apabila ditanya, adakah penunjuk perasaan berkenaan akan dikenakan tindakan, beliau menegaskan semua itu hak mereka dan beliau memberi kebebasan untuk mereka meluahkan apa yang mereka tidak puashati, kalau mereka datang berbincang atau berunding, itu langkah yang lebih baik.

”Bila benda baru, memang ramai yang tak puas hati. Saya nak kembangkan KUIN pun ramai yang kritik. Tambah jurusan Bahasa Inggeris dan Ekonomi pun mereka kritik.

“Saya harap mereka kena bersabar sebab kita semua faham KUIN ini universiti swasta dan tak sama dengan universiti kerajaan.

“Bila KUIN ada masalah kewangan, kerajaan negeri akan bantu melalui GLC.

“Kita bantu KUIN, setiap tahun kita salurkan RM15 juta. RM3 juta untuk tahfiz, RM12 juta untuk KUIN. Selain itu, yuran-yuran dari pelajar juga menampung keperluan, yang jadi lambat sikit tu kerana ada masalah teknikal.

“Kalau gaji kakitangan dipotong, perkara itu kena tanya bendahari bukan tanya rektor. Contohnya, kalau gulai tak masin tak cukup garam, takkan kita nak marah bapa tentulah kena tanya tukang masak,” ujarnya lagi menjawab berkaitan kewangan KUIN.

Berkenaan yuran pengajian yang dikatakan semakin meningkat, beliau menjelaskan, tiada sebarang kenaikan untuk pelajar lama. Kenaikan yuran hanya dikenakan kepada pelajar baru dan mereka boleh membuat penilaian sendiri berkenaan yuran berkenaan.


“Seramai 1056 pelajar baru mendaftar sehingga 21 Julai ini. Sekiranya mereka tidak bersetuju dengan bayaran pengajian tersebut mereka boleh memilih ke universiti lain tapi kemasukan ke KUIN tetap memberangsangkan. Dari 1200 pelajar yang dipilih, 1056 orang telah buat pengesahan,” tambah Azizan.

Beliau juga melahirkan rasa hairannya dengan sikap setengah pemberita yang hanya suka tumpukan berita berkenaan masalah KUIN, sedangkan pembinaan KUIN di Kuala Ketil tidak diambil perhatian.

”Kalau nak pergi sana, saya boleh tempah bas. Pergi tengok kemajuan pembinaan KUIN di sana. Ini asal saja pasal KUIN tanya masalah, yang kita buat benda baik untuk pelajar-pelajar KUIN tak mahu tanya, tak mahu tengok,” sambungnya lagi.

No comments:

Post a Comment