Diskaun 50 peratus untuk saman letak kereta

ALOR SETAR – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) akan mengadakan kempen tawaran diskaun 50 peratus bagi kompaun tempat letak kereta pada 1 hingga 30 Oktober 2012.
Datuk Bandar MBAS berkata, tawaran diskaun ini pertama kali dianjurkan bagi memastikan orang ramai dapat membayar kompaun tempat letak kereta untuk mengelakkan tindakan susulan diambil.
“Bayaran boleh dibuat di kaunter bayaran MBAS dan kaunter-kaunter bergerak yang akan ditetapkan, selepas tarikh 30 Oktober 2012, MBAS akan membawa kes ke mahkamah secara agresif ke atas kompaun-kompaun yang masih tidak dijelaskan,” jelas beliau.
Tambah beliau, sehingga kini, sembilan kes telah dibawa ke mahkamah kerana gagal menjelaskan kompaun tersebut mengikut syarat-syarat dan tempoh yang ditetapkan.
“Sembilan kes dibawa ke mahkamah setelah 40 notis dikeluarkan, tiga kes daripada sembilan ini telah selesai, dua kes dikeluarkan waran tangkap dan empat kes dalam perbicaraan semula.
“MBAS telah melakukan banyak tolak ansur, tetapi masih terdapat segelintir yang enggan menjelaskannya, oleh itu saya berharap kepada pesalah-pesalah supaya berhati-hati dan berfikir sebelum mengambil tindakan yang akhirnya merugikan diri,” jelas beliau.
No comments:
Post a Comment